Pelajar Permata Pintar  pada majlis makan tengah hari bersama Rosmah  yang juga penaung Permata, kelmarin.
Pelajar Permata Pintar pada majlis makan tengah hari bersama Rosmah yang juga penaung Permata, kelmarin.
BERNAMA

PELAJAR kumpulan perintis program Permata Pintar, Khoo Jia Hui yang sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah dalam bidang biokimia menyifatkan program itu sebagai mencabar.

Khoo berkata, dia mula menyertai program itu ketika berusia 15 tahun pada 2011 dan selepas menjalani pelbagai peringkat ujian sikap, termasuk kem musim panas dan membentangkan projek sains, program berkenaan didapati membuka peluang baru kepada dirinya.

Pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yoke Pin, Melaka itu, berkata ‘banyak komitmen yang perlu diberi dalam mengikuti program ini dan seseorang itu perlu memiliki kecintaan mendalam terhadap apa yang dilakukannya.’

Sebagai seorang daripada 15 pelajar yang dipilih daripada 100 pelajar Permata Pintar lain untuk mengikuti satu program khas di luar negara, Khoo menyifatkannya sebagai suatu peluang sangat istimewa.

Semasa berusia 17 tahun, dia dihantar mengikuti pengajian dalam bidang Mikrobiologi di Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat dan selepas memperoleh ijazah, Khoo memohon untuk mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah di Universiti Oxford.

Khoo berkata sebagai anak tunggal, program Permata Pintar membantunya untuk keluar daripada zon selesa dan meneroka kehidupan baru.

Pelajar ini diberi peluang mewakili pelajar Permata Pintar lain untuk berucap pada majlis makan tengah hari bersama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung Permata, kelmarin.

Menurutnya, walaupun kursus itu sungguh mencabar, tetapi ia juga sesuatu yang menyeronokkan.

“Pelajar dibenar memberi fokus terhadap bidang yang mereka minati dan sumber disediakan bagi membolehkan mereka mengikutinya,” katanya.

Sementara itu, Nur Syazana Natasha Hisham, yang sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Nanoteknologi di University College of London pula, berharap dia akan dapat melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah dengan pengkhususan dalam bidang grafen pada September tahun ini.

Berasal dari Kuala Lumpur, bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Langkawi, Kedah itu berkata, Permata Pintar yang menghimpunkan pelajar dengan kemampuan dan keupayaan sama taraf atau lebih tinggi, mewujudkan persaingan secara sihat untuk mereka mencapai kejayaan cemerlang di peringkat lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 5:20 AM