Putera Areff bersama mantan Presiden Persada, Mursyid Al Amien Kayati.
Putera Areff bersama mantan Presiden Persada, Mursyid Al Amien Kayati.
Sebahagian penuntut Malaysia yang mengikuti pengajian di Arab Saudi.
Sebahagian penuntut Malaysia yang mengikuti pengajian di Arab Saudi.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Kemurahan hati kerajaan Arab Saudi terhadap rakyat Malaysia memang tidak dapat disangkal lagi.

Selain pemberian biasiswa, kerajaan negara itu juga bermurah hati membiayai pengajian ramai pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di sana.

Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi (PERSADA), Putera Areff Roslan berkata, rakyat Arab Saudi mendapat pendidikan secara percuma di negara itu.

Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di negara itu turut berpeluang menikmati kelebihan berkenaan sejak sekian lama.

“Kerajaan Arab Saudi tidak mengenakan sebarang yuran kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di sini (Arab Saudi) dan kini ada seramai 341 pelajar.

“Mereka mengikuti pengajian di Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah, Universiti Islam Al-Imam Mohammad Ibn Saud, Riyadh, Universiti Umm Al-Qura, Makkah dan Universiti King Abdulaziz, Jeddah.

“Kebanyakan pelajar ini mengikuti pengajian dalam bidang pengajian syariah, dakwah dan usuluddin, pengajian al-Quran, hadis serta pengajian Sastera Arab di peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD),” katanya dari Madinah, semalam.

Putera Areff berkata, setiap bulan pelajar Malaysia di sana mendapat 840 riyal (kira-kira RM995) untuk perbelanjaan harian.

“Selain itu, pada awal tahun pelajar Malaysia juga mendapat wang bantuan 800 riyal (RM948) untuk membeli buku pengajian.

“Kami disediakan penempatan percuma yang selesa dan pelajar diberikan subsidi makanan tiga kali sehari di universiti.

“Lebih menyeronokkan, pelajar luar kampus juga mendapat pengangkutan percuma dan setiap tahun kami diberikan tiket penerbangan pulang ke Malaysia,” katanya.

Menurut Putera Areff lagi, pihak PERSADA mengharapkan hubungan erat di antara Malaysia dan Arab Saudi dalam bidang pendidikan agama dapat dieratkan menerusi kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke negara ini, bermula hari ini.

Kata Putera Areff, beliau yang mewakili PERSADA mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi dan kepemimpinan Raja Salman Abdulaziz di atas jasa, pengorbanan serta keprihatinan kerajaan negara itu membantu pelajar Malaysia di sini.

“Kami bertuah berpeluang menuntut ilmu di bumi anbiya ini dan jasa kerajaan Arab Saudi tidak dapat dibalas dengan wang ringgit,” katanya.

Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini mengeluarkan tawaran biasiswa penuh kepada 100 pelajar lelaki Malaysia untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Imam Mohamed Bin Saud, Riyadh.

Atase Budaya, Kedutaan Diraja Arab Saudi di Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan syarat mengikuti pengajian peringkat diploma dan sarjana muda adalah berusia 17 hingga 24 tahun, sarjana (24 hingga 30 tahun) dan PhD, 30 hingga 35 tahun.

“Program biasiswa diadakan berterusan pada masa depan dan bagi yang berjaya dalam sesi temu duga akan memulakan pengajian pada September atau Oktober,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:19 AM