PELAJAR pintar Malaysia.
PELAJAR pintar Malaysia.
BERNAMA

Bangi: Empat belas tahun selepas diperkenalkan pada 2009, Pusat GENIUS@Pintar Negara (PGPN) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kekal komited dalam meneruskan usaha mencari pelajar pintar dan berbakat di seluruh negara bagi melahirkan modal insan bernilai tinggi untuk meneruskan pembangunan negara.

Menerusi usaha yang dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, PGPN UKM mengenal pasti anak-anak pintar berusia lapan hingga 15 tahun di seluruh negara bagi mengikuti program pintar dan berbakat di Kolej GENIUS@Pintar Negara (KGPN) di UKM; Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia, Negeri Sembilan dan Akademi Sains Pendang, Kedah.

Inisiatif ini bermula selepas UKM menerima mandat daripada jemaah menteri pada 2008 agar universiti ini merancang, melaksana serta memantau program pendidikan pelajar pintar dan berbakat di seluruh negara.

Untuk menyertai program ini, seorang pelajar harus mempunyai skor kecerdasan intelek (IQ) sekurang-kurangnya 130 dan umur mental melebihi tiga tahun berbanding umur biologi.

"Contohnya, umur biologi pelajar adalah 11 tahun, umur mental atau akalnya minimum 14 tahun," jelas Pengarah PGPN UKM Prof Madya Dr Rorlinda Yusof.

Beliau yang telah 10 tahun menjadi pendidik, pentadbir dan kini menerajui pusat itu, berkata program tersebut berpegang pada falsafah pelajar pintar adalah aset negara yang perlu dipelihara dan diasah bakatnya semaksimum mungkin bagi menyerlahkan potensi sebenar mereka ke arah menjadi pemenang anugerah nobel pada masa depan untuk negara.

Jelasnya, program pendidikan pintar yang distrukturkan dengan kurikulum mencabar, terkehadapan dan holistik itu bertujuan membentuk kemenjadian bakat pintar yang bakal menyumbang sebagai pemimpin dunia dalam bidang kepakaran masing-masing, khususnya Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan penyelidikan, sebagai pemikir dan pereka cipta yang menghayati nilai kemanusiaan yang tinggi.

"Hasil daripada kurikulum pendidikan pintar dan berbakat yang dijalankan di KGPN ini, pelajar- pelajar telah berjaya mendapat tawaran pengajian terus ke tahun satu di universiti-universiti terkemuka di dunia dalam bidang yang dicenderungi oleh pelajar pintar ini," katanya.

Menurut Dr Rorlinda, kira-kira 25 peratus alumni KGPN UKM berjaya melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dunia sejak penubuhannya, manakala baki 75 peratus menyambung pendidikan di universiti awam tempatan, khususnya UKM, dalam pelbagai bidang STEM dan sains sosial.

"Antara universiti luar negara yang menempatkan pelajar kolej ini ialah Johns Hopkins University, Oxford University, University of Cambridge, Cornell University, Brown University, University of Chicago, University of California, Los Angeles atau UCLA serta beberapa universiti terkemuka dunia yang lain," katanya.

Menurut beliau, sejak penerimaan kohort pertama pada 2011, program itu telah melahirkan 1,446 pelajar pintar setakat 2022.

Mengenai pemilihan pelajar, beliau berkata ibu bapa yang mempunyai anak pintar dan berbakat boleh mengintai peluang mengikuti program pintar tersebut dengan mendaftarkan anak mereka secara berkelompok melalui sekolah di laman http://ukm1.geniuspintar.ukm.my

Mereka yang terpilih akan melalui Ujian Saringan UKM1, UKM2 yang merupakan ujian IQ dan Ujian UKM3 yang melibatkan sesi temu bual dan ujian kompetensi STEM serta pelbagai ujian psikologi yang perlu diambil semasa mengikuti Program Pengayaan Cuti Sekolah (PPCS).

Dalam pada itu, Dr Rorlinda menjelaskan pelajar pintar dan berbakat sebenarnya memerlukan pengukuran kecemerlangan yang berbeza berbanding pelajar aliran perdana.

Menurutnya, sepertimana pelajar berkeperluan khas, vokasional atau aliran agama yang menduduki peperiksaan kebangsaan mengikut kecenderungan mereka, pelajar pintar juga memerlukan pensijilan khusus kerana mereka adalah pelajar berkebolehan tinggi dalam bidang yang khusus.

"Sebagai contoh, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diiktiraf sijilnya, demikian juga dengan pelajar pintar dan berbakat. Mereka memerlukan sijil yang diiktiraf bagi menyokong kesinambungan pembelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

"Ini sejajar dengan konsep 'pendidikan untuk semua' yang terkandung dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, juga kesedaran kita sebagai pendidik dalam menghayati konsep No one- size-fits-all," katanya.

Beliau turut menegaskan keperluan institusi pendidikan tempatan di pelbagai peringkat untuk menyediakan sokongan pendidikan bagi memenuhi keperluan pelajar pintar dan berbakat.

"Jika negara luar mengiktiraf bakat kepintaran pelajar pintar negara ini, mengapa tidak kita?" soalnya.

Mengulas lebih lanjut tentang hal itu, beliau berkata pada masa ini, pelajar KGPN UKM perlu mencatat kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti pelajar arus perdana bagi membolehkan mereka menerima penajaan untuk menyambung pendidikan di luar negara.

Beliau yang berulang kali menekankan keperluan aspek sokongan penajaan bagi membuka laluan akademik pelajar pintar, berkata sudah tiba masa untuk pihak industri dan juga institusi yang memberi tajaan melihat kepada bakat pintar negara dengan menimbangkan kelayakan menerusi Sijil Pendidikan Pintar yang mengukur kepintaran dan bakat sebenar pelajar-pelajar ini.

"Kami sedang dan akan terus berusaha segigihnya untuk membantu mencarikan penajaan untuk pelajar-pelajar pintar negara yang telah berjaya mendapat tawaran ke universiti luar negara walaupun mereka belum lagi menamatkan peperiksaan SPM tahun ini," katanya.

Di samping itu, Dr Rorlinda bersyukur kerana setakat ini Maybank Group Scholarship Programme (MGSP), Yayasan Gamuda dan MyBrainSc Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersedia menawarkan tajaan atau biasiswa dengan keluwesan syarat yang sesuai dengan pelajar pintar dan berbakat, sama ada berdasarkan Sijil GENIUS@Pintar High School Diploma (HSD) atau ujian bakat ilmiah (Scholastic Aptitude Test - SAT).

Tambahnya, penajaan dari dalam negara untuk pelajar pintar amat penting bagi memastikan mereka kembali dan berkhidmat di Malaysia selepas tamat pengajian.

"Apabila mereka menerima tawaran penajaan luar begini, maka kita perlu bersedia untuk kehilangan bakat-bakat ini kerana mereka akan menyambung bekerja di luar negara memandangkan tiada ikatan perjanjian untuk mereka kembali berkhidmat dalam negara," katanya, menambah ini merupakan satu kerugian besar dalam konteks pelaburan modal insan negara.

Ulas beliau, negara pernah mengalami 'ketirisan bakat' dalam kalangan pelajar pintar pada era 1980-an hingga 1990-an kerana tidak ada program pendidikan pintar yang berstruktur untuk menyokong keperluan pendidikan pelajar kognisi tinggi.

Ini juga katanya adalah penyebab pewujudan program pendidikan pintar dan berbakat di UKM, selain berjaya mengekang penghijrahan pelajar tempatan ke negara jiran.

"Namun kini, setelah negara berjaya membentuk dan menghasilkan kemenjadian holistik pelajar pintar mengikut acuan negara berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sehingga kepintaran mereka diiktiraf dan berjaya mendapat tawaran tempat pengajian di universiti terkemuka dunia, isu pembiayaan pengajian masih belum dapat diselesaikan, dan tidak mustahil negara akan kehilangan bakat-bakat yang telah dipupuk dan diasah kepintarannya kepada negara lain.

"Penaja perlu mempunyai keluwesan dalam syarat penajaan bagi pelajar pintar ini supaya negara kita tidak kehilangan bakat-bakat yang telah dicari selama ini oleh PGPN UKM," katanya.

Tambah beliau, institusi itu sedang berusaha membentuk pelajar KGPN UKM agar berjaya melanjutkan pengajian ke 20 universiti terbaik dunia termasuk Ivy league antaranya Harvard University, Yale University, Princeton University, Columbia University dan Cornell University.

Sementara itu, Dr Rorlinda menyatakan baru-baru ini beberapa pelajar KGPN UKM telah ditawarkan mengikuti program ijazah sarjana muda di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia dengan menggunakan Sijil HSD yang dikeluarkan oleh PGPN UKM.

Seorang daripada mereka ialah Jared Ong, 18, yang sedang menduduki SPM 2023.

Menurut remaja itu, dia menerima tawaran daripada dua universiti, iaitu University of Wisconsin-Madison, AS dan University of Manchester, UK.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata dia memilih University of Manchester kerana ditawarkan laluan akademik fast track iaitu gabungan ijazah sarjana muda dan sarjana dalam sains biokimia dalam pengajian selama empat tahun bermula September depan.

"Tak sangka dapat tawaran dua universiti terutamanya daripada University of Manchester. Saya sangat bersyukur dan gembira kerana melanjutkan pengajian ke luar negara adalah satu impian sejak belajar di sini (KGPN UKM).

"Saya mahu meluaskan pengetahuan untuk mendapat pengalaman yang baharu dan bekerjasama dengan pakar-pakar. Satu hari nanti, saya boleh bawa balik kejayaan ini ke Malaysia dan berbakti untuk negara," kata Jared yang berminat dalam bidang sains sejak berumur tujuh tahun dan biokimia pada umur 14 tahun.

Dia juga mengharapkan ada pihak bersedia menaja pengajiannya yang akan menelan belanja hingga RM159,788.13 (GBP 30,000) tidak termasuk perbelanjaan harian.

Bagi Muhammad Adib Rusyaidi Mohd Azilan, 19, yang akan melanjutkan pengajian di College of Agriculture & Life Science, University of Wisconsin-Madison, AS pada Ogos nanti, dia sedang membuat persiapan dari segi mental, fizikal dan rohani selain membina jati diri bagi menghadapi kehidupan sebagai pelajar di luar negara.

Dia ditawarkan biasiswa di bawah MyBrainSc KPT menasihati semua pelajar, khususnya mereka yang menuntut di KGPN UKM, agar tidak mudah berputus asa walaupun berdepan laluan yang berliku untuk sampai ke destinasi yang diimpikan.

"Ya, kita harus terus mencuba dan tidak takut untuk buat keputusan. Kalau keputusan kita salah kita perlu perbaiki. Walaupun saya menerima tawaran biasiswa lewat dan terpaksa menangguh pengajian setahun, saya tidak putus asa malah mengikuti kursus ASASIpintar UKM untuk membina jati diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 7:30 AM