Rosmah beramah mesra dengan sebahagian pelajar Kolej PERMATA Pintar.
Rosmah beramah mesra dengan sebahagian pelajar Kolej PERMATA Pintar.
myMetro

Bangi: Pelajar yang lahir dari Kolej PERMATA Insan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bukan sahaja perlu menguasai ilmu berasaskan al-Quran dan Sunah sebaliknya turut diberi penekanan dalam pelbagai bidang bagi melahirkan sarjana Islam bertaraf dunia.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung PERMATA berkata, bagi merealisasikan matlamat itu, pelajar berkenaan perlu mempelajari mata pelajaran yang sama seperti Kolej PERMATA Pintar selain ilmu hafazan al-Quran dan kemahiran tambahan lain.

“Saya sedia maklum dengan kebimbangan ibu bapa mengenai jumlah mata pelajaran yang diambil setiap pelajar terbabit sehingga merasakan menjadi beban kepada pelajar dan menimbulkan tekanan kepada mereka.

“Namun kita harus berfikiran jauh ke depan kerana kita tidak mahu mereka hanya dilahirkan menjadi imam, bilal atau mufti, sebaliknya perlu mempunyai kemahiran dan pemikiran kritis sama seperti seorang saintis,” katanya menjawab soalan ibu bapa dalam Program Bual Santai Kenali Anak Pintar Anda di Pusat PERMATA Pintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata, meskipun pelajar itu memilih untuk mendalami ilmu pengajian Islam atau al-Quran, mereka masih mampu menjadi ahli falsafah atau sarjana Islam bertaraf dunia yang mampu membangunkan modal insan berteraskan al-Quran dan sains dalam konteks masyarakat hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 9:45 AM