Pertunjukan demonstrasi anggota JPJ  pada majlis sambutan Hari JPJ ke-71 di Dataran Bentong, Pahang.
Pertunjukan demonstrasi anggota JPJ pada majlis sambutan Hari JPJ ke-71 di Dataran Bentong, Pahang.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Bentong: Jabatan PengangkutanJalan (JPJ) meraih lebih RM3.8 bilion hasil sepanjang tahun lalu, meningkat enam peratus berbanding 2015.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, 70 peratus daripada hasil itu disumbangkan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Kuala Lumpur menjadi penyumbang tertinggi diikuti Johor dan Selangor,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari JPJ ke-71 Rakyat Didekati JPJ Disenangi di Dataran Bentong, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron dan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye.

Mengulas lanjut, Liow berkata, jumlah kenderaan terkumpul di Malaysia ketika ini ialah 27.6 juta berbanding 20.2 juta pada 2010 menjadikan tugas JPJ semakin mencabar.

Katanya, peningkatan itu menandakan tugas mengendalikan pendaftaran baru, tukar milik, pembaharuan LKM, penguatkuasaan dan lain-lain berkaitan dengan kenderaan turut meningkat.

Begitu juga dengan bilangan pemandu yang dilesenkan oleh JPJ menunjukkan peningkatan daripada 1.22 juta orang pada 2010 kepada 1.38 juta pada tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 6:24 AM