HANTARAN yang tular di media sosial
HANTARAN yang tular di media sosial
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat laporan polis berhubung kenyataan tidak tepat yang tular selepas di muat naik seorang pengguna Facebook berkaitan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Menerusi hantaran di Facebook itu, seorang individu mendakwa bahawa pemilik kenderaan pada masa ini boleh menggunakan dokumen LKM atau cukai jalan digital sahaja adalah satu pembohongan.

JPJ dalam kenyataannya hari ini menafikan dakwaan individu terbabit dan laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Presint 7 di Putrajaya hari ini.

"Laporan dibuat supaya siasatan dijalankan terhadap pemilik akaun berkenaan bagi mengelak perkongsian kenyataan yang tidak betul dan mengelirukan pada masa hadapan.

"Sebagaimana kenyataan media Menteri Pengangkutan pada 10 Februari, JPJ sedang dalam fasa interim pelaksanaan pendigitalan LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

"Pemilik kenderaan dan pemandu yang bersedia digalakkan untuk beralih dari dokumen berbentuk fizikal kepada dokumen berbentuk digital," katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh interim berkenaan orang ramai diberi pilihan sama ada menggunakan dokumen dalam bentuk fizikal atau digital.

Katanya, pemandu atau penunggang yang memilih menggunakan dokumen digital tidak perlu khuatir sekiranya ditahan agensi penguat kuasa untuk pemeriksaan.

"Penguat kuasa yang terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dimaklumkan mengenai perkara ini.

"JPJ ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat hantaran atau berkongsi kandungan media sosial yang boleh mengelirukan banyak pihak dan membuat semakan terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 12:26 PM