FADZIL
FADZIL
Muhammad Apendy Issahak

Sitiawan: Akibat perselisihan faham, sekumpulan lelaki dipercayai bergaduh dengan seorang anggota polis hingga berlaku pergelutan dan beberapa das tembakan dilepaskan yang mengakibatkan seorang daripada kumpulan lelaki terbabit cedera ditembak di Ladang Sitiawan, di sini, malam kelmarin.

Susulan kejadian pada jam 10 malam, seorang anggota polis berusia 36 tahun yang bertugas di Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Selangor dan tiga lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, anggota polis itu mendakwa diserang sekumpulan lelaki kerana perselisihan faham dan ketika kejadian, dia mendakwa beberapa das tembakan dilepaskan pihak yang menyerang.

“Siasatan awal polis kemudian mendapati seorang lelaki dimasukkan ke Hospital Seri Manjung dipercayai cedera ditembak.

“Lelaki yang cedera ditembak dilaporkan stabil dan polis kini menyiasat kes terbabit mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, setakat ini mangsa dalam kes cubaan bunuh ini adalah anggota polis terbabit manakala lelaki yang cedera dipercayai daripada kumpulan lelaki yang bergaduh dengan mangsa.

“Anggota polis dan tiga lagi suspek berusia 20-an hingga 30-an ditahan dan direman lima hari mulai hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut.

“Siasatan akan dijalankan dari semua aspek bagi mengenal pasti siapa sebenarnya yang melepaskan tembakan hingga menyebabkan seorang daripada individu yang terbabit dalam pergaduhan itu terkena tembakan,” katanya.

Sementara itu, difahamkan lelaki yang terkena tembakan itu berusia 32 tahun dan cedera pada bahagian perut serta punggung kiri selain beberapa kesan calar di badan.

Dia dihantar ke hospital oleh orang awam pada malam kejadian.

Anggota polis yang terbabit dalam kejadian dan ditahan itu pula adalah seorang koperal yang berkhidmat sebagai polis sejak 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 7:17 AM