NURUL Syahfika memberi sepenuh perhatian kepada anaknya, Mohd Rafa di rumah.
NURUL Syahfika memberi sepenuh perhatian kepada anaknya, Mohd Rafa di rumah.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Maran: Tiada sesiapa mahu dilahirkan dalam keadaan yang kekurangan, tapi Allah lebih mengetahui segala-galanya perihal bayi berusia 10 bulan, Mohd Rafa Mikail yang dilahirkan tanpa lubang dubur, selain menderita usus terkeluar.

Ketika dilahirkan, doktor tidak dapat mengenal pasti jantina, selain turut mengesan bayi itu mengalami masalah tulang belakang bengkok dan kaki kiri mempunyai satu tulang.

Ibu bayi berkenaan, Nurul Syahfika Kamarul Aiani, 20, berkata, bayinya yang dilahirkan tidak cukup bulan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, terpaksa dirujuk kepada pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Ketika di HKL, pakar yang mengendalikan kes anak saya menjalankan pembedahan usus dan menebuk lubang di kiri dan kanan perut bagi membolehkannya membuang najis serta air kencing. Selepas menjalani pembedahan itu baru doktor dapat mengenal pasti jantina anak sebagai lelaki,” katanya ketika kunjungan ahli Kelab Permotoran Ezora, Estima dan Vellfire di kediaman mentuanya di FELDA Jengka 9, di sini, kelmarin.

Menurutnya, doktor tidak dapat memberi kata putus mengenai keadaan anak lelakinya itu.

“Buat masa ini, fokus doktor adalah lubang najisnya kerana doktor akan menjalankan pembedahan seterusnya bagi menutup sebelah daripada lubang najis itu apabila anak berusia dua tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Syahfika yang hamil tujuh bulan berkata, selama 10 bulan ini, dia dan suami, Shafiq Mohd Refee, 21 terpaksa berulang-alik ke tiga hospital berbeza bagi melakukan pemeriksaan susulan penyakit anak mereka.

“Saya ke Hospital Jengka, Maran untuk pemeriksaan kaki, HOSHAS untuk pemeriksaan mata, telinga, kaki, manakala HKL bagi pemeriksaan susulan pembedahan usus.

“Pendapatan suami yang bekerja kilang sebanyak RM1,000 tidak mencukupi untuk menampung kos perjalanan itu, selain perlu membeli lampin pakai buang dan susu apatah lagi anak bergantung sepenuhnya dengan susu tepung,” katanya yang sudah memohon bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, wakil kelab Proton Ezora, Estima dan Vellfire, Ismail Mohamed berkata, kunjungan mereka adalah untuk menyerahkan sumbangan kepada bayi malang berkenaan, selain turut merapatkan silaturahim sesama ahli kelab yang pada mulanya berkumpul bagi menghadiri kenduri doa selamat dan akikah ahli kelab berkenaan.

“Kami berharap sumbangan RM800 hasil kutipan derma daripada ahli kelab ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban keluarga bayi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 9:44 AM