Pasangan suami isteri, Ali Saad dan Norhidayah Mazelan melihat anak bongsu, Muhammad Syafi Lutfi Ali di rumah mereka di Taman Budi, Jeram, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Pasangan suami isteri, Ali Saad dan Norhidayah Mazelan melihat anak bongsu, Muhammad Syafi Lutfi Ali di rumah mereka di Taman Budi, Jeram, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Usianya tidak sampai sebulan namun Muhammad Syafi Lutfi Ali terpaksa menempuh dugaan besar selepas dilahirkan tanpa dubur pada 7 Julai lalu.

Ketiadaan alat sulit yang sempurna menyebabkan anak bongsu dari lima beradik itu terpaksa menjalani pembedahan di Institusi Pediatrik Hospital Tunku Azizah bagi membolehkan dia membuang najis.

Lebih menyedihkan, anak kecil itu turut menanggung masalah saluran kencing tidak sempurna dan masalah saraf tunjang di bahagian pinggang.

Menurut bapanya, Ali Saad, 45, anak lelakinya dilahirkan normal di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dengan berat 2.76 kilogram (kg).

Katanya, doktor membuat imbasan dan memaklumkan usus Syafi disyaki pendek sebelum dia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

"Apabila saya dan isteri (Norhidayah Mazelan, 36) pergi ke HKL, doktor mencadangkan supaya menggunakan bag stoma yang dilekatkan pada lubang ditebuk di bahagian perut Syafi untuk memudahkannya membuang najis.

"Bagaimanapun, cadangan itu ditolak selepas doktor mengesahkan usus Syafi boleh sampai ke bahagian dubur dan pembedahan boleh dilakukan.

"Pada mulanya kami memang sedih, tetapi cuba menerima hakikat selepas memikirkan amanah dan tanggungjawab untuk membesarkan Syafi," katanya ketika ditemui di Taman Budi, Jeram, di sini, tadi.

Ali berkata, sejak dilahirkan, Syafi perlu menjalani rawatan setiap dua minggu sekali di HKL dengan rawatan seterusnya pada 8 Ogos ini.

"Untuk rawatan kali ini, doktor akan memantau saluran pembuangan air besar dan saluran kencing Syafi.

"Kami dimaklumkan saluran kencing mungkin terlalu awal untuk dibedah. Namun, kami serahkan segalanya kepada Allah dan berdoa akan kesembuhan dia," katanya.

Menurut Ali, buat masa ini, dia sekeluarga tinggal di rumah sewa yang ditanggung oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Bagaimanapun, dia perlu mencari wang lebih untuk membeli susu khas kerana tidak mempunyai pendapatan tetap disebabkan bekerja sebagai nelayan.

"Saya perlu menyediakan kira-kira RM 1,000 untuk membeli keperluan Syafi termasuk susu dan lampin pakai buang selain kos ulang-alik setiap kali perlu menghadiri temujanji di HKL.

"Jauh di sudut hati, kami sentiasa berdoa dan berharap ada peluang untuk anak ini membesar dengan sempurna seperti kanak-kanak lain," katanya/

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Ali di talian 011-36425083 atau menghubungi 010-2261127 (Norhidayah) atau atau menyumbang ke akaun CIMB Bank bernombor 08040100597526.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:03 PM