MANGSA dibawa turun oleh anggota bomba dan penyelamat.
MANGSA dibawa turun oleh anggota bomba dan penyelamat.

Gopeng: Seorang lelaki yang memanjat pokok kelapa setinggi 10 meter bagi membawa turun buah berkenaan berdepan detik cemas apabila tangan serta kaki kirinya kejang secara tiba-tiba di Kampung Tersusun, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, mangsa berusia 57 tahun dipercayai sudah memanjat pokok itu dan membawa turun sebahagian buah berkenaan sebelum naik semula untuk mengambil baki buah yang tinggal.

Difahamkan, ketika memanjat untuk kali kedua dan sampai di atas pokok, tangan dan kaki kiri mangsa kekejangan menyebabkan penduduk kampung terpaksa memanggil bomba untuk bantuan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng, C Ganesan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.11 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, anggota mendapati seorang lelaki kekejangan di atas pokok kelapa sebelum kerja membawa turun mangsa dijalankan menggunakan tangga dan tali.

“Mangsa berjaya diturun sebelum diserahkan kepada kakitangan perubatan dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan.

“Operasi tamat jam 12 tengah hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 4:31 AM