BOMBA berjaya membawa turun mangsa dan pokok (gambar kanan) yang dipanjat mangsa sebelum mengalami kekejangan. FOTO ihsan bomba
BOMBA berjaya membawa turun mangsa dan pokok (gambar kanan) yang dipanjat mangsa sebelum mengalami kekejangan. FOTO ihsan bomba
Farah Suhaidah Othman


Gopeng: Bomba berjaya membawa turun seorang lelaki yang mengalami kekejangan tangan dan kaki kiri ketika sedang mengambil kelapa diatas pokok setinggi 10 meter di Kampung Tersusun, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa berusia 57 tahun dipercayai sudah memanjat pokok itu dan membawa turun sebahagian buah sebelum naik semula ke atas pokok itu untuk mengambil baki buah yang tinggal.

Difahamkan, ketika memanjat untuk kali kedua dan sudah sampai di atas pokok berkenaan, tangan dan kaki kiri mangsa mengalami kekejangan menyebabkan penduduk kampung terpaksa memanggil bomba untuk bantuan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng, C Ganesan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.11 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, anggota mendapati seorang lelaki mengalami kekejangan diatas pokok kelapa sebelum kerja-kerja membawa turun mangsa dijalankan menggunakan tangga dan tali.

"Mangsa berjaya diturunkan dan diserahkan kepada ambulan dan dibawa ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan.

"Operasi tamat jam 12 tengah hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 12:59 PM