ROSLAN lokasi dia menangkap ikan tapah gergasi di Sungai Pahang.
ROSLAN lokasi dia menangkap ikan tapah gergasi di Sungai Pahang.
IKAN ditangkap dijual kepada orang ramai dengan harga RM40 sekilogram.
IKAN ditangkap dijual kepada orang ramai dengan harga RM40 sekilogram.

Jerantut: “Ketika hendak naikkan ikan itu, ia terlepas seketika namun mungkin rezeki anak, saya berjaya menangkapnya kembali,” kata Roslan Mohamad Napiah, 45, yang mendaratkan ikan tapah ‘gergasi’ sepanjang 1.5 meter (m) dengan berat lebih 50 kilogram (kg) di Sungai Pahang, di sini, Isnin lalu.

Roslan berkata, dia bernasib baik mendapat hasil tangkapan itu.

“Selama enam tahun saya mencari ikan di sungai secara sambilan, tidak pernah lagi mendapat ikan sebesar ini.

“Sebelum ini, ikan paling berat saya pernah dapat sekitar 20kg seekor.

“Saya tidak terkejut dengan hasil tangkapan itu kerana terbiasa dengan asam garam kehidupan di sungai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerantut Feri, di sini, semalam.

Bercerita lanjut mengenai hasil tangkapannya, bapa kepada tujuh anak itu berkata, pada hari kejadian dia sepatutnya keluar menoreh getah.

“Kebetulan hari itu hujan menyebabkan saya tidak pergi menoreh.

“Saya ke sangkar ikan dikongsi bersama rakan terletak 200 meter dari rumah untuk memberi ikan makan,” katanya.

Menurutnya, sambil itu dia mencari ikan menggunakan candik (sauk besar) berhampiran sangkar itu.

“Kira-kira jam 10 pagi apabila nampak ikan itu, saya cuba membawanya naik ke bot menggunakan candik, tetapi terlepas sekejap ketika ‘bergelut’ dengannya.

“Namun mungkin sudah rezeki, ikan itu tersangkut pada sangkar dan proses menangkapnya menjadi mudah kerana ia letih akibat pergelutan,” katanya.

Menurutnya, hasil tangkapan itu dipotong dan dijual kepada penduduk kampung sekitar RM40 sekilogram selain dijamu kepada keluarga serta rakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 5:15 AM