Najib merasmikan kompleks Suruhanjaya Tinggi Malaysia, semalam.
Najib merasmikan kompleks Suruhanjaya Tinggi Malaysia, semalam.

New Delhi: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan hasil lawatan beliau ke India sebagai amat berjaya dan mencorakkan semula hubungan diplomatik kedua-dua negara yang kini berusia 60 tahun.

“Saya sangat berpuas hati dengan lawatan ini. Saya lihat evolusi hubungan ini daripada mula, kini ada kepelbagaian, berkembang daripada bersifat satu dua bidang kepada pelbagai aspek dan dimensi... lebih strategik dan komprehensif,” katanya dalam sidang media pada akhir lawatan enam hari beliau ke India yang bermula 30 Mac di Chennai.

Katanya, beliau dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi bersetuju hubungan antara kedua-dua negara berada di tahap tertinggi dalam sejarah dan kedua-dua mereka amat yakin ia bertambah baik pada masa hadapan.

“Jumlah pelaburan bernilai AS$36 billion (RM158.4 bilion) termasuk AS$32 bilion di Malaysia melalui 31 MoU yang dimeterai semasa lawatan ini jelas menunjukkan keyakinan kerajaan India pimpinan Modi dan syarikat terkemuka negara itu terhadap suasana pelaburan dan ekonomi di Malaysia,” katanya.

Ditanya apakah faktor lain yang mendorong kejayaan sebesar itu, Najib berkata, ia sebahagian daripada usaha Modi untuk merombak ekonomi negara itu dan dorongan kuat beliau kepada syarikat di sini yang sebelumnya tidak agresif dan bergantung pada pasaran tempatan untuk keluar melabur di luar negara.

Pada masa sama, Najib berkata, Malaysia tidak sekadar mahu membawa pelaburan dari India tetapi juga bersedia memberi peluang kepada syarikat mereka untuk turut serta dalam projek di Malaysia.

“Kita mahu India membeli lebih banyak kelapa sawit dari Malaysia dan kita akan mula rundingan dengan Ircon (syarikat kereta api) yang mahu terbabit dalam projek kereta api aliran Seremban ke Pelabuhan Klang,” katanya.

Katanya, India juga bersetuju menambah tempat duduk 1,861 seminggu untuk penerbangan ke Delhi, Kolkata, Mumbai, Chennai, Bangalore dan Hyderabad. Perbincangan akan dimulakan untuk meningkatkan kapasiti mingguan kepada 40,000 daripada 20,000 sekarang. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 5:53 AM