PESAWAT MIG 29n.
PESAWAT MIG 29n.
BERNAMA

New Delhi : India menyatakan minat untuk membeli jet pejuang MiG-29 daripada Malaysia dengan menaik taraf pesawat itu untuk kegunaan tentera udara negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan itu antara aspek kerjasama ketenteraan yang dipersetujui antara Malaysia dan India.

“Dalam hal ini, Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melihat bentuk kerjasama, termasuk pengendalian pesawat tempur Sukhoi dan peralatan ganti pesawat berkenaan.

“Ada juga kemungkinan mereka akan beli pesawat MiG-29 kita untuk mereka pasang pulih. Sebagai timbal balas, kita menerima peralatan ganti untuk program pesawat Sukhoi kita,” katanya dalam sidang media pada akhir lawatan enam hari beliau ke India yang bermula 30 Mac di Chennai.

Menurut majalah penerbangan ketenteraan, ‘AirForces Monthly’, TUDM pada 1995 memperoleh 18 jet pejuang MiG-29N dari Russia dan pada ketika ini terdapat 10 MiG-29N dan dua pesawat latihan MiG-29NU dalam asetnya.

Najib juga berkata, lawatan ke India kali ini satu kejayaan dalam bidang pelaburan antara kedua-dua negara di mana 31 Memorandum Persefahaman (B-to-B) dimeterai dengan jumlah pelaburan AS$35.99 bilion (RM159.26 bilion).

Kerjasama yang dimeterai meliputi pembinaan pelabuhan, jalan raya, pembangunan tenaga solar, pembangunan bandar pintar, taman teknologi, pembangunan minyak sawit dan kelapa serta pendidikan tinggi.

“Di samping itu, Syarikat Topworth Group dan Samarth Group dari India menyerahkan Surat Hasrat Melabur (LOI) untuk pelaburan berjumlah AS$380 juta (RM1.6 bilion) di Malaysia,” tambah beliau.

Syarikat Samarth, yang juga pengeluar pelbagai produk perubatan kritikal bercadang melabur AS$80 juta (RM352 juta) di Iskandar Malaysia, Johor, manakala Topworth pula yang juga pengeluar aluminium foil untuk pembungkusan ubat dengan pelaburan berjumlah AS$300 juta (RM1.32 bilion) di Bintulu, Sarawak.

Najib juga berkata, Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan enam pakej pembinaan jalan raya sepanjang 3,000km di Rajashtan dengan anggaran pelaburan AS$1.5 bilion (RM6.5 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 9:53 AM