PESERTA menyertai Larian Hari Sarapan Malaysia bersama Milo di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh, semalam.
PESERTA menyertai Larian Hari Sarapan Malaysia bersama Milo di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh, semalam.
Oleh Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Seramai 5,000 peserta membanjiri pekarangan Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di sini bagi menyokong tabiat sarapan sihat dan gaya hidup aktif sempena Hari Sarapan Malaysia Milo, semalam.

Pengarah Komunikasi Nestle, Khoo Khar Khoon berkata, program sarapan terbesar di Malaysia itu memasuki tahun ketiga dan Ipoh menjadi tempat pembuka tirai acara tahun ini.

Menurutnya, pihaknya mengambil inisiatif menghimpunkan rakyat Malaysia agar mereka mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil sarapan bernutrisi.

“Penganjuran kali ini dibuat di bandar ini kerana mendapat reaksi positif daripada Kerajaan Perak terutama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mempromosikan nilai sarapan yang positif dalam kalangan penduduk, di sini.

“Melalui kajian yang dijalankan, kami mendapati rakyat Malaysia tidak suka mengambil sarapan pagi, jadi acara ini satu kempen kesedaran sarapan dapat memenuhi keperluan tenaga badan seharian,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara larian yang diadakan sempena program itu.

Katanya, selain mengamalkan sarapan bernutrisi dengan cara betul melalui Sarapan Milo, penduduk setempat menyertai acara larian dalam dua kategori iaitu tiga dan tujuh kilometer.

Khoo berkata, pihaknya akan menganjurkan program sama di Kuching, Sarawak dan Putrajaya dengan program di Kuching dijadualkan pada 26 April ini.

Sementara itu, tiga beradik sanggup datang dari Rawang, Selangor bagi menjayakan acara itu dan menyertai acara larian dengan masing-masing berjaya membawa pulang hadiah.

Menurut Putra Azrul Syazwan, 18, yang menang tempat ketiga kategori Terbuka Lelaki Tiga Kilometer, menyifatkan penganjuran acara itu memupuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan generasi muda sepertinya.

“Kami tiga beradik sanggup datang dari Rawang ke bandar ini semata-mata untuk menyertai acara larian dan menyokong usaha ini,” katanya.

Adik dan kakaknya, Nur Fazleen, 14, dan Nur Fazreen, 21, masing-masing memenangi tempat kedua dan kelima Kategori Wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 9:21 AM