ANGGOTA TUDM mengawal ketat pintu masuk Pangkalan TUDM Kota Samarahan, susulan kejadian tembakan yang membabitkan anggota TUDM. FOTO Nadim Bokhari
ANGGOTA TUDM mengawal ketat pintu masuk Pangkalan TUDM Kota Samarahan, susulan kejadian tembakan yang membabitkan anggota TUDM. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menembak mati tiga rakan setugasnya di Flait 232 HANDAU, Skuadron 330 TUDM, Kota Samarahan, merampas senjata api dari tempat simpanannya di balai pengawal kem itu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Mancha Ata berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku dengan pantas pada 7.15 pagi tadi.

Beliau berkata, melihat perlakuan pelik anggota berpangkat Koperal itu, rakannya cuba menenangkannya.

Bagaimanapun, katanya, suspek bertindak agresif dan melepaskan tembakan menggunakan senjata Colt M4 Carbine ke arah perut mangsa.

"Selepas menembak mangsa pertama, suspek kemudian pergi ke bilik rehat di balai pengawal itu dan melepaskan tembakan ke bahagian sisi dada sebelah kanan seorang lagi anggota.

"Dia kemudiannya menembak bahagian belakang seorang lagi anggota, sebelum dia membunuh diri dengan menembak bahagian bawah dagu menembusi otak dan mati di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mancha berkata, tiga anggota termasuk suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang mangsa iaitu yang cedera parah di bahagian perut pula disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi ketika menerima rawatan di Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti punca suspek mengamuk.

Dalam kejadian itu, anggota yang maut ialah Koperal Udara Ho Swee Boon dari Lundu; Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat dari Asajaya; Laskar Udara (LU) Luk Nesly anak Nabau dari Sibu dan Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli dari Kuching.

Berita berkaitan

Kes tembak anggota TUDM: Motif kejadian masih dalam siasatan

Kes anggota TUDM ditembak: Koperal Sharif pesan jangan tinggal solat

Polis dedah identiti anggota TUDM maut dalam kes tembakan

Ahli keluarga anggota TUDM maut ditembak dibawa ke HUS

'Nak hidup atau mati!'

Kes tembak: TUDM tubuh Lembaga Penyiasatan

Anggota TUDM tembak tiga rakan sebelum menembak diri sendiri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 4:44 PM