FOTO Hamzah Osman
FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Empat anggota Polis Tentera Udara (PROVOS) wanita lengkap bersenjata raifal mencuri tumpuan di LIMA '17.

Laskar Udara Canneylia Lauris, 20, berkata dia bertuah dan teruja apabila dipilih bertugas mengawasi keselamatan pesawat dan pengunjung di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).

“Semua anggota PROVOS adalah terlatih dan sepanjang bertugas kami dilengkapi raifal tempur Colt M4 Carbine dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan seperti juga tugas dilakukan anggota lelaki.

"Bertugas di tengah panas terik bukan masalah bagi saya," katanya yang berasal dari Ranau, Sabah.

Laskar Udara Nur Ezzati Zainon, 23, dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Kuching, Sarawak, turut teruja selepas dipilih bertugas pada LIMA ‘17 kali ini.

"Saya baru setahun bertugas dalam pasukan ini dan amat gembira apabila nama disenaraikan bersama empat rakan lain untuk bertugas pada acara peringkat antarabangsa ini.

"Tanggungjawab kami berat iaitu memastikan pengunjung dan pesawat berada dalam keadaan selamat dan mengesan sebarang pergerakan individu yang mencurigakan," katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 1:33 PM