MANGSA tersepit kaki pada pokok di sekolah.
MANGSA tersepit kaki pada pokok di sekolah.

Ampang: Seorang murid perempuan tahun dua Sekolah Agama Rakyat Taman Melawati di sini, terpaksa menahan kesakitan lebih 10 minit apabila kaki kanannya tersepit di celah pokok.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi kelmarin, mangsa, Nur Amalia Qistina dipercayai bermain bersama rakannya sebelum memanjat pokok itu.

Bagaimanapun, mangsa tergelincir menyebabkan kakinya tersepit di celah pokok itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang, Ariff Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.35 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, didapati bapa mangsa sedang berusaha menenangkan mangsa yang tersepit dan ketakutan,” katanya.

Menurutnya, pihak sekolah sebelum itu menghubungi bapa mangsa terlebih dulu sebelum membuat panggilan kecemasan.

“Anggota bomba segera memberikan bantuan dengan memotong pokok berkenaan menggunakan alat pemotong hidraulik bagi melepaskan kaki mangsa yang tersangkut.

“Anggota bomba mengambil masa hanya lima minit untuk memotong pokok dan melepaskan kaki mangsa.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa pulang oleh bapanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 7:15 AM