MANGSA yang kesakitan dibantu selepas kakinya tersepit  celah tangga di rumahnya di Saujana Utama.
MANGSA yang kesakitan dibantu selepas kakinya tersepit celah tangga di rumahnya di Saujana Utama.
myMetro

Sungai Buloh: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun hanya mampu menangis hampir 30 minit apabila kaki kanannya tersepit pada celah besi tangga dalam kejadian di rumahnya di Saujana Utama, di sini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, kaki mangsa tersepit selepas dia memanjat tangga.

Difahamkan, pasangan itu cuba melepaskan kaki anak mereka, namun gagal berikutan mangsa tersepit di celahan besi.

Pasangan yang panik itu kemudiannya menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.05 tengah hari.

Beliau berkata, tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian dan tiba 10 minit kemudian.

“Anggota bomba berjaya mengeluarkan kaki mangsa dengan mengumpil besi tangga menggunakan kayu pada jam 12.25 tengah hari,” katanya.

Mangsa diselamatkan tanpa kecederaan serius.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 9:59 AM