KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan di MRR2 berhadapan Zoo Negara, semalam.
KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan di MRR2 berhadapan Zoo Negara, semalam.
myMetro

Ampang: Seorang lelaki parah apabila kereta dipandunya hilang kawalan dan merempuh tembok jejantas di Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berhadapan Zoo Negara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, mangsa yang berusia lingkungan 20 tahun memandu Perodua Myvi bersama rakannya dalam perjalanan ke Ampang sebelum terbabit kemalangan.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Ampang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.26 pagi dan pasukan anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

“Lima anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang mangsa masih berada dalam kenderaan.

“Seorang lagi mangsa dikeluarkan orang awam sebelum anggota tiba,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berada di bahagian pemandu tersepit akibat impak rempuhan.

“Kereta remuk teruk di bahagian pemandu yang mengakibatkan mangsa tersepit.

“Anggota memotong pintu kereta menggunakan alatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 9:46 AM