Sheikh Ghazali (kiri) menyampaikan ucapan di Auditorium Fakulti Undang-Undang UiTM, Shah Alam.
Sheikh Ghazali (kiri) menyampaikan ucapan di Auditorium Fakulti Undang-Undang UiTM, Shah Alam.
Nur Izzati Izzah Nadzi


Shah Alam: Mufti yang dilantik tidak boleh memberi kenyataan bercanggah. Demikian kata Penasihat Perundangan Syariah di Jabatan Peguam Negara Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman.

Menurut beliau, sebarang pendapat atau pandangan dikeluarkan oleh mufti dan agamawan yang bertentangan akan mengelirukan masyarakat.

“Kenyataan yang diberikan kepada masyarakat sepatutnya tidak boleh berlawanan kerana ia akan menimbulkan kesangsian pelbagai pihak.

“Kelemahan menyampaikan pemahaman kepada mereka menjadikan ia tidak mencapai kata sepakat dan tiada kesudahan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama ‘Siri Wacana Polemik Memperkasakan Mahkamah Syariah dan Perundangan Syariah Malaysia’ anjuran Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PA UiTM) di sini, semalam.

Kata Sheikh Ghazali, mufti bersama umat Islam di setiap negeri perlu menyokong pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1965 (RUU355) kerana ia antara usaha memartabatkan undang-undang syariah.

“Ada pihak tertentu menyuarakan pendapat bahawa perlu mendidik umat Islam terlebih dulu sebelum melaksanakan undang-undang Islam.

“Jika begitu pemahaman dan pemikiran mereka, undang-undang sivil juga tidak boleh dilaksanakan kerana kita perlu memberi pendidikan sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 6:33 AM