KEADAAN kereta mewah yang terbabit kemalangan ketika berkonvoi.
KEADAAN kereta mewah yang terbabit kemalangan ketika berkonvoi.
myMetro

Genting Highlands: Seorang doktor pakar bius panik sejurus kereta mewah dipandu hilang kawalan sebelum merempuh tiang tanda jalan ketika menyertai konvoi menuju Genting Highlands di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun memandu kereta model Lotus berkonvoi bersama lebih 15 kereta mewah lain sebelum terbabas di laluan berbukit menuju taman tema itu.

Anggota Unit Bantuan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Shukor Hashim berkata, dia menerima panggilan kecemasan jam 8.33 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa dipercayai memandu dari arah Kuala Lumpur melalui Jalan Sungai Tua Hulu Yam sebelum meneruskan perjalanan dari Batang kali ke Genting Highlands.

“Pelbagai kenderaan mewah menyertai konvoi itu seperti Ferrari, Lamborghini, Lotus dan Porsche.

“Kejadian itu mengakibatkan laluan trafik tersekat menuju ke puncak Genting Highlands,” katanya.

Shukor berkata, kereta mangsa mengalami kerosakan di bahagian kanan hadapan namun mangsa tidak cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 8:32 AM