Hidayatidayu Razali


Bachok: Polis menahan tiga pengedar dadah dan merampas sepucuk pistol revolver .38 berwarna perak di dalam sebuah kereta di tepi tali air Kampung Keting, Gunong di sini, semalam.

Tiga lelaki berusia antara 26 hingga 39 tahun itu ditahan pada 1.30 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dan Balai Polis Gunong.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk 20 gram heroin, 66 biji pil kuda, 7.6 gram syabu dan empat biji pil epam dengan nilai keseluruhan RM10,000.

Katanya, sebelum ditahan, tiga lelaki yang berada di dalam kereta Proton Persona bertindak agresif dengan cuba melepaskan diri.

"Anggota bertugas melihat salah seorang suspek mengambil objek menyerupai sepucuk pistol daripada bahagian tengah brek tangan dan cuba mengacukan ke arah polis, namun berjaya dihalang.

"Polis merampas pistol jenis revolver .38 berwarna perak bertulisan Smith & Wesson dan di dalamnya mengandungi enam biji peluru.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta menemukan pelbagai barangan termasuk 28 biji peluru, satu holster pistol, satu pasang gari, anak kunci gari, sebilah keris, empat telefon bimbit dan pelbagai jenis dadah," katanya.

DATUK Shafien Mamat menunjukkan hasil rampasan susulan penahanan tiga pengedar dadah tepi tali air Kampung Keting, Gunong di sini, semalam. FOTO Hidayatidayu Razali
DATUK Shafien Mamat menunjukkan hasil rampasan susulan penahanan tiga pengedar dadah tepi tali air Kampung Keting, Gunong di sini, semalam. FOTO Hidayatidayu Razali

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Ketua Polis Kelantan bersama Ketua Jabatan, Ketua Polis Daerah dan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Peringkat Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Shafien berkata, kegiatan semua suspek terbongkar hasil maklumat awam dan risikan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bachok.

Katanya, tiga suspek berkenaan dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah di Bachok sejak 2019.

"Hasil semakan mendapati suspek berusia 38 tahun mempunyai 17 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, samun dan aktiviti gengsterism. Suspek berusia 26 tahun mempunyai 14 rekod lampau dan lelaki berusia 39 tahun ada tujuh rekod lampau.

"Dengan tertangkap tiga suspek ini, kita dapat menyelesaikan kes samun bersenjata yang berlaku di Gua Musang dan hasil siasatan setakat ini mendapati mereka terbabit dengan dua kes samun.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan mereka ini turut menyamar sebagai polis kerana mempunyai gari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 2:15 PM