QASEH ketika menyambut ulang tahun kelahirannya yang ketujuh,  Oktober tahun lalu.
QASEH ketika menyambut ulang tahun kelahirannya yang ketujuh, Oktober tahun lalu.
myMetro

Kota Tinggi: “Saya ada berjumpa beberapa ustaz dan pengamal perubatan tradisional, mereka mengatakan cucu saya, Qaseh dalam keadaan selamat namun tidak mampu pulang ke rumah kerana ada halangan,” kata Rohaya Nemat, 49.

Rohaya berkata, kelmarin, genap seminggu Qaseh Qumairah Damia Abdullah, 8, hilang namun keluarga belum menerima sebarang maklumat berkaitan kanak-kanak berkenaan yang juga anak sulung daripada dua beradik.

Menurut Rohaya, ketika bertemu beberapa ustaz dan pengamal perubatan tradisional, mereka menyatakan Qaseh amat merinduinya dan tidak sabar mahu pulang ke pangkuan keluarga.

Malah, katanya, mereka juga menyatakan ada pihak yang menghalang cucunya pulang sehingga menimbulkan tekanan pada Qaseh Qumairah Damia.

“Sejak cucu hilang, saya tidak tidur lena kerana teringatkannya. Walaupun ustaz menyatakan cucu selamat, ia hanya melegakan saya buat sementara, saya sangat bimbangkan keselamatannya,” katanya.

Rohaya berkata, hingga kini, keluarganya juga meneruskan usaha mengesan Qaseh di sekitar Kota Tinggi dan daerah lain di negeri ini.

Menurutnya, keluarganya juga berterima kasih kepada polis yang turut giat menjejak Qaseh.

“Masyarakat setempat amat prihatin termasuk pengusaha bas sekolah yang bersama membantu mengesan cucu.

“Jiran dan kenalan juga hadir untuk majlis membaca Yassin dan kenduri doa selamat. Saya berdoa semoga Allah SWT memelihara keselamatan Qaseh dan memberi petunjuk dalam usaha mengesannya,” katanya.

Qaseh yang juga murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Saujana itu kali terakhir dilihat bermain bersama adiknya, Mohd Dani Aqasha, 7, serta seorang lagi rakan di sekitar kawasan perumahan Taman Saujana di sini, 23 Januari lalu.

Kali terakhir Qaseh Qumairah Damia dilihat memakai baju-T dan berseluar sukan sekolah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Qaseh Qumairah Damia boleh menghubungi talian 012-7137372 atau 012-7665546.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan kes berkenaan.

“Siasatan mendapati kes ini tiada kaitan dengan penculikan. Kami turut mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengesan mangsa di longkang berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 9:45 AM