Masri  (kanan) bersama kumpulan pendakwaan kes hadir untuk pengurusan kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Masri (kanan) bersama kumpulan pendakwaan kes hadir untuk pengurusan kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Georgetown: “Sudah enam bulan kes ini berlanjutan, namun tiada sebarang perkembangan dan hanya asyik bercakap. Jadi, saya rasa kurangkan bercakap adalah lebih baik.

“Saya mahu perbicaraan kes ini dijalankan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu Mac ini kerana tidak mahu ia tertangguh lagi,” kata Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail ketika pengurusan kes rasuah membabitkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon di Mahkamah Tinggi, di sini semalam.

Terdahulu, Guan Eng dan Phang memfailkan dua notis usul untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebagai tidak berpelembagaan
dan tidak sah.

Permohonan itu dikemukakan Li Koon melalui peguamnya, Datuk V Sithambaran, dua minggu lalu, sementara Guan Eng yang diwakili Gobind Singh Deo memfailkan notis sama ketika pengurusan kes itu, semalam.

Hadhariah kemudian menetapkan 7 Februari ini sebagai tarikh pendengaran dua notis usul berkenaan dan menetapkan tarikh perbicaraan akan dikekalkan iaitu bermula 27 Mac ini.

“Akta serta Seksyen 62 ini sudah wujud lama dan tiada siapa yang boleh pinda, namun mahkamah tidak boleh menghalang pihak pembelaan untuk memfailkan perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud memaklumkan pihaknya sudah melengkapkan dokumen kes setebal lebih 13,000 muka surat seperti yang diminta selain turut menyerahkannya kepada pihak pembela.

Pada 30 Jun lalu, Guan Eng, 57, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:16 AM