Suasana di luar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, pagi tadi. FOTO Danial Saad
Suasana di luar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, pagi tadi. FOTO Danial Saad
Shamsul Munir Safini & Rudy Syaremey Sheriffudin


Georgetown: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 6 Disember ini sebagai tarikh pengurusan kes rasuah membabitkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan berkenaan selepas mendengar permohonan pihak pembelaan yang meminta masa bagi meneliti dokumen setebal 13,000 muka surat dan melebihi 30 jilid yang diterima daripada pihak pendakwaan 9 September lalu.

Peguambela Phang, Hisyam Teh Poh Teik memohon mahkamah agar Guang Eng dan anak guamnya dikecualikan hadir pada tarikh berkenaan.

Peguambela Guang Eng, Gobind Singhjuga memohon pihak pendakwaan mengemaskini dokumen yang dihantar termasuk meletakkan nombor di helaian dokumen.

Hadhariah kemudian membenarkan permohonan itu dan memberitahu bahawa mahkamah mahu kes ini berjalan dengan segera dan tidak mahu ia ditangguhkan.

"Tempoh dua bulan yang diberikan dianggap mencukupi bagi kedua-dua pihak menyelesaikan perkara berbangkit," katanya.

Timbalan-timbalan Pendakwa Raya yang hadir ialah Masri Mohd. Daud, Mohd Dusuki Mokhtar, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Mohd Zain Ibrahim.

Manakala Gobindmengetuai pasukan peguam mewakili Guan Eng bersama-sama Ramkarpal Singh, RSN Rayer, M Manoharan, P Subramaniam, dan M Kulasegaran

Sebelum ini, pengurusan kes yang sepatunya pada 22 September lalu ditangguhkan dan ditetapkan pada hari ini.

Ini kerana Phang telah melantik peguam baharu iaitu Hisyam bagi menggantikan peguam terdahulu Datuk K Kumaraendran dan kes itu akan disebut di hadapan Hakim baharu iaitu Hadhariah.

Kes itu sebelum ini didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azmi Ariffin.

Phang melantik Hisyam dan Datuk V Sithambaram sebagai peguam baru untuk mewakilinya, dan beliau telah menulis kepada mahkamah meminta supaya menjadualkan semula tarikh 22 September itu sebelum sekali lagi ditangguhkan pada 6 Disember ini.

Pada 30 Jun lepas, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Guan Eng, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada Phang dengan harga RM2.8 juta.

Nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta dengan Lim mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 28 Julai 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bekas pemilik banglo itu, Phang turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.

Phang, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 12:43 PM