TENGKU Mahmud (gambar kiri) cedera di kaki selepas menyelamatkan cucu ketika rumahnya dijilat api.
TENGKU Mahmud (gambar kiri) cedera di kaki selepas menyelamatkan cucu ketika rumahnya dijilat api.
API menjulang dalam kejadian kebakaran kediaman Tengku Mahmud.
API menjulang dalam kejadian kebakaran kediaman Tengku Mahmud.
myMetro

Chukai: Seorang datuk melecur kedua-dua kaki dan tangan selepas meredah rumahnya yang terbakar bagi menyelamatkan cucu berusia empat tahun dalam kejadian di Kampung Paya Berenjut, di sini, tengah hari kelmarin.

“Sebaik terdengar jeritan isteri di dapur, saya yang berada di beranda dapur teringat cucu leka bermain dalam bilik tidur tamu, ” kata Tengku Mahmud Tengku Mat, 67.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari, Tengku Mahmud yang cedera dikejarkan ke Hospital Kemaman bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, api yang marak dari bilik tidur utama hingga menyebabkan asap tebal di dalam rumah menyukarkan penglihatan ketika cuba menyelamatkan cucu, Mohd Akil Wafik Mohd Asri.

“Saya hanya dapat meraba dalam asap tebal untuk mencarinya dan selepas mendengar tangisannya dalam bilik itu saya terus menerkamnya dan membawa keluar dari rumah.

“Ketika meredah api dan asap tebal, tikar getah mula cair akibat bahang dan saya terpaksa memijaknya menyebabkan kaki melecur teruk,” katanya ketika ditemui di Hospital Kemaman, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBPM) Chukai Yahaya Hanapi berkata, seorang pegawai bersama 11 anggota tiba di tempat kejadian pada jam 12.53 tengah hari dan mengambil masa satu jam untuk memadamkan kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 8:29 AM