PELUNCUR profesional dari Bali, Indonesia  Wayan Dharma Putra menunjukkan kemahiran.
PELUNCUR profesional dari Bali, Indonesia Wayan Dharma Putra menunjukkan kemahiran.
Juara kategori grom tahun lalu, Samuel Marque, 16, menunjukkan aksi memukaukan  perhatian.
Juara kategori grom tahun lalu, Samuel Marque, 16, menunjukkan aksi memukaukan perhatian.
Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Aktiviti luncur air semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk tempatan di negeri ini terutamanya golongan muda.

Presiden Pertubuhan Luncur Air Sabah (SSA) Ivan Tan berkata, ia sekali gus menjadikan Sabah sebagai pilihan lokasi luncur air terbaru yang berpotensi di negara ini.

“Terdapat tiga lokasi luncur air di negeri ini iaitu pantai Tanjung Aru, Karambunai di Kota Kinabalu dan Simpang Mengayau, Kudat.

“Ia bukan saja menarik minat golongan muda, tetapi remaja belasan tahun seperti penduduk kampung sekitar Simpang Mengayau,” katanya ketika ditemui sempena Borneo Surf Festival di pantai Karambunai, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya dalam perancangan mempopularkan sukan ekstrem itu bagi menarik lebih ramai golongan belia menyertainya.

“Borneo Surf Festival yang kini memasuki tahun ketiga penganjuran semakin menunjukkan peningkatan bilangan peserta.

“Bagi kategori Grom atau 16 tahun ke bawah misalnya, seramai 16 remaja menyertainya tahun ini termasuk beberapa peserta profesional berbanding hanya enam tahun lalu.

“Ia turut menarik penyertaan dari Brazil, Brunei dan Perancis,” katanya.

Selain kategori Grom, terdapat kategori lain iaitu lelaki tempatan, lelaki terbuka antarabangsa dan terbuka wanita.

Sementara itu, peserta, Mohd Saiful Hussien, 16, berkata, dia teruja apabila kali pertama menyertai kejohanan itu selepas setahun berkecimpung dalam arena sukan luncur air.

“Saya mula belajar meluncur tahun lalu selepas melihat abang dan rakan meluncur di perairan Karambunai.

“Sejak itu, saya sering berlatih bersama mereka sebagai persiapan menyertai kejohanan tahun ini,” katanya.

Bagi Chris Jericho Lisad, 15, kejayaannya memperoleh tempat keempat tahun lalu di kejohanan sama menguatkan semangatnya menjadi antara peluncur air profesional negara.

“Saya menetap di Simpang Mengayau, Kudat dan mempunyai ombak yang agak tinggi, sesuai untuk aktiviti ‘surfing’.

“Justeru, saya berharap sukan ini diberi perhatian yang lebih baik oleh kerajaan.

“Saya yakin, dengan bantuan kerajaan memperkenalkan sukan ekstrem ini, ia semakin popular dan menjadi antara sukan pilihan kepada golongan remaja seperti kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 9:46 AM