MOHD Zubil menunjukkan lokasi enjin sangkut didakwa milik Tommy yang ditemui nelayan pagi tadi. FOTo ihsan APMM
MOHD Zubil menunjukkan lokasi enjin sangkut didakwa milik Tommy yang ditemui nelayan pagi tadi. FOTo ihsan APMM
Ardyhansah Amat


Kudat: Sebuah enjin sangkut dipercayai milik Lam Wai Yin Tommy, 45, seorang daripada empat mangsa yang hilang di perairan daerah ini, Isnin lalu, berjaya ditemui kira-kira 2.8 baru nautika, utara Tanjung Simpang Mengayau, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, enjin sangkut berkenaan ditemui seorang nelayan yang memukat di kawasan tersebut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, nelayan terbabit mendakwa enjin berkenaan tersangkut pada pukat sebelum bertindak menariknya ke permukaan laut.

"Nelayan itu mendakwa terdapat dua enjin sangkut, namun hanya berjaya menaikkan sebuah saja sebelum menghantarnya ke jeti APMM Kudat.

"Sehingga kini, kami masih melakukan operasi mencari dan menyelamat di dasar laut di kawasan tersebut," katanya.

Tambah Mohd Zubil, adik mangsa (Tommy) mengesahkan enjin sangkut berkenaan yang digunakan Tommy ketika ke Pulau Balambangan sebelum mereka dilaporkan hilang.

Selain Tommy, tiga individu lain iaitu David Hernnades Gasulla, 30, Martha Miguel, 30, dan Armella Ali Hassan, 23, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang menaiki bot dari Pulau Balambangan ke Tanjung Simpang Mengayau, Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 1:26 PM