PENGUNJUNG muzium berinteraksi dengan animasi disediakan. Gambar kecil, Ricky.
PENGUNJUNG muzium berinteraksi dengan animasi disediakan. Gambar kecil, Ricky.

Melaka: Muzium Seni Ilusi 3D di pusat beli-belah Dataran Pahlawan Megamall, Banda Hilir, di sini, bernilai RM1.6 juta menjadi daya tarikan baru kepada pelancong tempatan dan asing bercuti di negeri ini.

Tarikan terbaru itu dibina di atas tapak seluas 780.3 meter persegi dan mempamerkan 38 lukisan serta sebuah studio interaktif yang pastinya memberikan pengalaman menyeronokkan kepada pengunjung.

Pengarah Eksekutif ARV Interactive Holdings Sendirian Berhad Ricky Ng berkata, seramai tujuh pelukis tempatan dan luar negara ditugaskan untuk menyiapkan lukisan di tujuh ruang dalam muzium berkenaan.

“Setiap lukisan dihasilkan menggunakan tangan dan disiapkan dalam tempoh enam bulan untuk mendapatkan pandangan tiga dimensi. Kami membelanjakan RM14,000 untuk menyiapkan sebuah lukisan tiga dimensi berkenaan.

“Selain lukisan, studio interaktif berkeluasan 97.5 meter persegi menayangkan lima video pendek antaranya hidupan zaman dinosaur di darat dan laut yang bakal memberikan satu pengalaman unik kepada pengunjung,” katanya.

Menurutnya, dengan berpandukan skrin khas bernilai RM460,000 disediakan, pengunjung boleh beraksi dengan animasi itu yang dibangunkan sebuah studio terkenal di London, United Kingdom.

Dia berkata, bagi memberikan kelainan berbanding studio interaktif di luar negara, usaha sedang giat dijalankan memperkenalkan warna-warni kehidupan tempatan di masa akan datang.

“Kami sedang mengumpulkan bahan boleh digunakan seperti suasana kampung atau perkahwinan untuk diselaraskan menjadi video interaktif bagi tatapan generasi muda.

“Secara tidak langsung mereka dapat menggambarkan suasana seperti mengejar ayam atau bermain permainan tradisional yang mungkin tidak lagi boleh dirasai oleh generasi muda sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 10:02 AM