KEADAAN Jambatan Kampung Pulau Setelu yang dilimpahi air Sungai Nenggiri. FOTO Ramli Ibrahim
KEADAAN Jambatan Kampung Pulau Setelu yang dilimpahi air Sungai Nenggiri. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


PENGGUNA jambatan sementara Kampung Pulau Setelu, Gua Musang bimbang keselamatan mereka terancam berikutan jambatan itu yang senget selepas tenggelam sejak 6.30, petang semalam.

Difahamkan, jambatan yang menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli itu senget selepas tiang besinya tercabut di bawa arus deras Sungai Nenggiri.

Susulan itu, jambatan itu ditutup daripada lalu lintas termasuk untuk kerja pembersihan sehingga tengah hari tadi.

Pengguna Mustafa Harun, 34, berkata, jambatan itu perlu dibaiki segera kerana keadaannya sudah tidak begitu selamat untuk dilalui kenderaan.

"Saya perasan dia senget di bahagian kiri dan apabila dilalui, jambatan bergoyang kuat dan kita boleh rasa tidak selamat.

"Jika dibiarkan, boleh runtuh jambatan ini sedangkan ia menjadi laluan penting penduduk untuk keluar masuk dan pengguna jalan Gua Musang ke Jeli.

"Tambah pula sekarang musim tengkujuh, memang kerap jambatan tenggelam. Saya harap pihak berkuasa buat sesuatu ke atas jambatan sementara ini," katanya di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Maktar Dahari Ibrahim, 37, pula berkata, keadaan jambatan sementara itu semakin tidak selamat untuk dilalui kenderaan walaupun sekadar motosikal.

Katanya, bagi pengguna tetap, mereka tiada pilihan kerana laluan lain yang lebih jauh dan jambatan konkrit (kekal) masih lagi dalam pembinaan.

Sebelum itu, dia bersama 50 penduduk kampung serta lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergotong-royong sejak pagi untuk membersih jambatan itu yang dipenuhi sisa kayu yang tersekat.

"Sudah menjadi amalan bagi kami melakukan kerja amal itu untuk kemudahan orang ramai melaluinya sepanjang masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 5:42 PM