KEADAAN jambatan Kampung Pulau Setelu  dilimpahi air Sungai Nenggiri.
KEADAAN jambatan Kampung Pulau Setelu dilimpahi air Sungai Nenggiri.
myMetro

Gua Musang: Pengguna jalan raya dinasihati tidak memilih Jalan Gua Musang-Jeli berikutan jambatan sementara di Kampung Pulau Setelu yang masih berisiko tinggi untuk dilalui.

Walaupun air sungai surut petang semalam dan boleh dilalui kenderaan namun keselamatan jambatan itu belum dapat dipastikan.

Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Ahmad Kamizi Jalil berkata, kelmarin, air Sungai Nenggiri melimpah dan menenggelamkan separuh jambatan itu sehingga jam 11 pagi semalam.

“Namun menjelang petang air semakin surut dan jambatan boleh dilalui tapi kami bimbang mendatangkan bahaya kepada pengguna kerana arus sungai deras dan jambatan bergegar.

“Jambatan memerangkap banyak sisa kayu dan sampah yang hanyut. Ia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum digunakan.

“Sebab itu kami bimbang jika pengguna melaluinya ketika ini.

“Lagipun musim tengkujuh ini, tak boleh jangka,” katanya.

Beliau berkata, menjadi kebiasaan penduduk kampung bergotong-royong membersihkan jambatan itu setiap kali selepas air surut.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Gua Musang Mohd Yussalmi Mohd Yusoff ketika dihubungi berkata, jambatan itu dinaiki air pada sebelah pagi dan semakin surut menjelang tengah hari.

Namun, beliau menasihati pengguna berhati-hati ketika melalui jambatan itu untuk tempoh sekarang.

“Kami sentiasa memantau semua laluan di kawasan luar bandar daerah ini untuk keselamatan penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 10:16 AM