BANJIR kilat melanda FELDA Sungai Rentang akibat hujan lebat selama dua jam.
BANJIR kilat melanda FELDA Sungai Rentang akibat hujan lebat selama dua jam.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Jerantut: “Jeritan jiran mengatakan banjir menyebabkan saya terjaga dan panik.

“Tanpa membuang masa saya kejutkan isteri yang tidur untuk memeriksa anak dan keadaan rumah,” kata Khairul Azawar Ismail, 38, mangsa banjir kilat di FELDA Sungai Retang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 malam, kediaman Khairul serta 29 rumah lagi di kawasan berkenaan ditenggelami air 0.5 meter akibat hujan lebat.

Khairul berkata, dia dan isteri bersama dua anak perempuan berusia lima serta dua tahun masing-masing tidur manakala ibunya tidak berada di rumah kerana menghantar adiknya ke Kuala Lumpur.

Katanya, sebelum dimaklumkan kejadian itu, dia menyedari hujan bagaimanapun tidak menyangka menyebabkan banjir kilat.

“Selepas terjaga akibat jeritan jiran, saya sedar air memasuki rumah kerana terpijak air di lantai sebelum saya dan isteri berusaha menyelamatkan barangan rumah serta peralatan elektronik.

“Dalam kejadian ini, kami tidak mengalami kerosakan peralatan hanya pakaian saja diselaputi lumpur kerana air memasuki bilik tidur,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Seorang lagi mangsa Siti Kamariah Abdul Raman, 63, berkata banjir kilat berlaku semalam adalah terburuk pernah dihadapinya selama 36 tahun menetap di kawasan berkenaan.

“Ketika banjir pada 2011, air hanya paras betis, namun kali ini ia berlaku agak teruk kerana air naik sehingga ke paras pinggang.

“Kejadian ini sekali gus menyebabkan peti sejuk dan mesin basuh di rumah saya diselaputi lumpur, ia berkemungkinan rosak,” katanya.

Ketua Kampung FELDA Sungai Retang Suran Jaafar berkata, kejadian itu mungkin disebabkan sistem pengairan Sungai Pai berhampiran kediaman penduduk tidak mengalir lancar kerana dipenuhi pelepah sawit.

“Justeru, kami mohon FELDA memberikan peruntukan untuk kerja mencuci dan mendalamkan sungai berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Jerantut Tengku Nur Asmaliza Ku Lah berkata, pihaknya akan meninjau kawasan terbabit dan meminta JPS segera melakukan kerja pembersihan sistem pengairan dan saliran di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 10:16 AM