Roxhana   melihat keadaan Nur Damia Daniela  di Kampung Siram, Alor Pasir, Pasir Mas.
Roxhana melihat keadaan Nur Damia Daniela di Kampung Siram, Alor Pasir, Pasir Mas.

Pasir Mas: Walaupun kudratnya terhad, seorang nenek berusia 62 tahun sanggup menjadi ‘ibu dan bapa’ kepada tiga cucunya termasuk seorang yang menghidap penyakit cerebral palsy (CP) sejak setahun lalu.

Dawiyah Che Mat sanggup mengerahkan segala sisa tenaganya berikutan ibu kepada tiga cucunya, Noor Idayu Ariffin, 23, bekerja di Johor untuk menyara keluarga selepas berpisah dengan suami setahun lalu.

Tugasnya lebih mencabar apabila perlu menjaga keperluan cucunya Nur Damia Daniela Abdullah, 6, yang menghidap penyakit CP sejak tiga tahun lalu.

Dawiyah berkata, biarpun segala tanggungjawab untuk menguruskan segala keperluan tiga cucunya berusia antara setahun hingga tiga tahun di bahunya, dia tidak pernah mengeluh kerana menerimanya sebagai amanah dan ujian tuhan.

“Pada mulanya, saya fikir agak berat benarkan Idayu ke Johor, namun apabila difikirkan balik, saya rasa lebih elok dia bekerja bagi menyara tiga anaknya.

“Selagi masih bernyawa dan susah macam mana pun, biarlah saya mengambil alih tanggungjawab menjaga cucu saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Siram, Alor Pasir di sini, semalam.

Menurutnya, setiap bulan perbelanjaan untuk menguruskan Nur Damia sahaja melebihi RM500 sebulan yang bergantung kepada susu khas yang diberi menerusi tiub.

“Biarpun memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah kategori keupayaan fizikal, RM300 sebulan, namun ia tidak mencukupi.

“Mujur seorang anak saya, Azman sanggup berhenti kerja sebagai pemandu lori dan bekerja kampung semata-mata untuk membantu meringankan beban kami sekeluarga kerana tidak sanggup melihat keadaan anak saudaranya,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Pergerakan Adil, Roxhana Omar berkata, pihaknya akan membantu meringankan beban keluarga terbabit.

Katanya, dia akan menguruskan bantuan zakat kepada keluarga terbabit selain mencari modal untuk mereka memulakan perniagaan.

Orang ramai yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan kepada Dawiyah menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Noor Idayu 0099529000023060

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 7:02 AM