Anggota APM menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap.
Anggota APM menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap.
Ibrahim Isa


Muar: Akibat berang tidak sempat menelan seekor babi hutan di kawasan semak di Parit Perupuk, Jalan Temenggong Abdul Rahman, di sini, ular sawa sepanjang 6.7 meter bertindak ganas ketika cuba melepaskan diri daripada ditangkap sepasukan empat anggota dan pegawai Agensi Pertahanan Awam (APM) Muar, tengah hari semalam.

Bagaimanapun, hasil latihan dan peralatan terkini serta bantuan orang ramai, pasukan itu berjaya menangkap ular sawa seberat lebih 160 kilogram dalam tempoh 10 minit.

Pembantu APM Muar, Unit Bencana dan Operasi, Staf Muda Muhammad Izzuddin Ali berkata, pihaknya menerima panggilan keemasan pada jam 12.11 tengah hari dan sepasukan empat anggota serta pegawai dikejarkan ke lokasi.

“Apabila tiba, kami mendapati orang ramai mengerumuni ular sawa sepanjang 6.7 meter itu dan kami mengambil langkah berjaga-jaga dengan melilit mulut ular sawa berkenaan menggunakan alat khas.

“Ia langkah keselamatan bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa ular sawa itu dan kami berdepan masalah apabila ular sawa itu meronta ketika kami cuba mengangkatnya.

“Kami berjaya membawa ular itu pulang ke pejabat APM Muar sebelum diserahkan kepada PERHILITAN untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan, orang ramai menemui ular sawa itu di kawasan semak sebelum menghubungi pihaknya.

Katanya, ketika ditemui, ular sawa itu melilit seekor babi hutan dan membaham sebahagian tubuh haiwan berkenaan, namun memuntahkannya semula apabila menyedari orang ramai mengerumuninya.

“Mujur orang ramai menghubungi kami dan apabila tiba, kami menggunakan peralatan menangkap ular sawa itu terutama melilit mulutnya menggunakan alat khas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 10:12 AM