SUBKHIDIN.
SUBKHIDIN.
SUBKHIDDIN  bersama pengadil  luar negara.
SUBKHIDDIN bersama pengadil luar negara.
 SUBKHIDIN (dua dari kiri) ketika menjadi pengadil bola sepak Piala Asia di Qatar pada 2011.
SUBKHIDIN (dua dari kiri) ketika menjadi pengadil bola sepak Piala Asia di Qatar pada 2011.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Dulunya dia dikenali pembantu pengadil Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, namun kini bertugas dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai tenaga pengajar teknikal bagi mendidik pengadil dari seluruh dunia.

Nama Subkhiddin Mohd Salleh, 50, bukan asing dalam bidang pengadilan bola sepak di negara dan pengetahuannya sudah diiktiraf FIFA yang berpangkalan di Zurich, Switzerland.

Subkhiddin kini bertanggungjawab untuk mengajar dan memberi pendedahan mengenai aspek teknikal pengadilan bola sepak peringkat dunia kepada jurulatih lain.

Selain itu, beliau masih aktif mengadili perlawanan bola sepak yang ditentukan oleh FIFA di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, saya banyak diberi tanggungjawab ke negara Timur Tengah, Korea, Jepun dan Uzbekistan berdasarkan jadual yang sudah dirangka oleh FIFA.

“Selepas bersara sebagai guru kemudian dilantik sebagai pengadil FIFA dan tenaga pengajar teknikal pengadil. Itu bermakna saya perlu bergerak ke serata benua bagi memberi kursus dan tunjuk ajar kepada pengadil serta mengadili beberapa perlawanan ditentukan FIFA,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, tugas itu bukan mudah kerana memerlukan kemahiran khusus selain badan perlu sentiasa cergas untuk mengajar pengadil mengadili perlawanan sebagai persiapan Piala Dunia 2018 di Russia dan di Qatar pada 2022.

“Pemilihan calon pengadil perlu mengambil kira kriteria FIFA menerusi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Seperti ramai calon lain, saya turut melalui prosedur sama yang menguji kemampuan fizikal dan mental. Antara prosedur itu ialah ujian saringan kecergasan, ujian fizikal dan mental, kuiz serta kursus di dalam dan luar negara bagi memenuhi piawaian sebenar sebagai pengadil,” katanya.

Biarpun pesara guru Kolej Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang itu tampak gah kerana masih berkhidmat dengan badan dunia itu sehingga ke hari ini, bapa kepada tiga anak itu mengakui apa yang diperolehi itu perlu dibayar dengan harga yang ‘mahal’.

“Sejak mula bergelar pengadil FIFA, saya terlalu kerap berjauhan dengan keluarga.

“Boleh dikatakan saya hanya berada di Malaysia dua bulan, manakala selebihnya di luar negara. Masa bersama keluarga sangat terhad, namun saya berterima kasih kepada isteri, Azizah Omar, 49, dan tiga anak saya yang sangat memahami kerjaya ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 9:08 AM