Mohamad Zainal Mohd Khamis,29, dan Nurul Asyikin Mustafa,26, ketika menerima kunjungan serta sumbangan daripada wakil sebuah pasar raya di rumahnya di Kampung Nawa, Pokok Sena. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Mohamad Zainal Mohd Khamis,29, dan Nurul Asyikin Mustafa,26, ketika menerima kunjungan serta sumbangan daripada wakil sebuah pasar raya di rumahnya di Kampung Nawa, Pokok Sena. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Bayi lelaki yang menghidap kanser otak tahap empat akan menjalani pembedahan menebuk leher di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, dalam masa terdekat.

Ibunya, Nurul Asyikin Mustafa, 26, berkata pembedahan terhadap Muhammad Adam Zikri Mohamad Zainal, 12 bulan, akan membantu dia bernafas dengan baik agar tidak bergantung kepada paip yang dimasukkan ke dalam mulutnya.

"Anak saya dijadualkan dibedah hari ini, namun ditunda selepas dia demam. Pembedahan dilakukan agar Adam Zikri tidak perlu bergantung kepada paip yang disalurkan ke mulutnya kerana doktor bimbang berlaku jangkitan kuman.

"Sekiranya berjaya, Adam Zikri akan dibenarkan pulang ke rumah selepas hampir empat bulan berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HSB," katanya.

Terdahulu, Nurul Asyikin menerima kunjungan wakil sebuah pasar raya yang menyerahkan sumbangan barang keperluan bernilai RM1,000 di rumahnya di Kampung Nawa, Pokok Sena, dekat sini.

Nurul Asyikin berkata, anaknya juga bakal menjalani kimoterapi kali keempat dalam masa terdekat dan pemeriksaan magnetic resonance imaging (MRI) pula akan dilakukan pada Oktober depan untuk melihat tahap kansernya.

"Syukur bila dapat tahu anak akan pulang dalam tempoh terdekat. Kami juga gembira apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan bantuan bulanan RM500 kepada Adam Zikri.

"Terima kasih juga kepada pihak lain termasuk yang menyumbang keperluan dapur dan barangan elektrik, sedikit-sebanyak dapat meringankan beban kami," katanya.

Pada 7 Julai lalu, media melaporkan pasangan suami isteri pilu melihat bayi lelaki mereka diuji menghidap penyakit kanser otak tahap keempat dan doktor menjangkakan dia dapat hidup setahun lagi.

Adam Zikri sudah menjalani dua kali pembedahan dan juga kimoterapi selepas penyakitnya itu dikesan pada 29 Mac lalu apabila mengalami demam berpanjangan dan muntah.

Bapanya, Mohamad Zainal Mohd Khamis, 29, yang bekerja sebagai tukang rumah tidak mempunyai pendapatan tetap, selain anak sulung mereka Nur Arriana Zarrisha, 4, pula mengidap kanser tiriod sejak lahir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 5:39 PM