Bagan Datoh: Penubuhan mana-mana parti serpihan UMNO bagi menentang parti keramat itu boleh diumpama menempah kubur sebelum maut kerana ia ditubuhkan atas dasar kekecewaan dan lebih bersifat individu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejarah politik sebelum ini membuktikan bagaimana parti serpihan UMNO yang ditubuhkan berkubur sekali gus menunjukkan sokongan orang Melayu kepada parti keramat itu sentiasa kuat.

Menurutnya, tidak mungkin ada parti serpihan UMNO termasuk parti yang bakal ditubuhkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad boleh bertahan lama dan menggantikan parti keramat UMNO kerana ia ditubuhkan atas penyatuan orang Melayu bukannya atas dasar kekecewaan.

“UMNO bukan dibina dan ditubuhkan sebagai parti tepi jalan, UMNO bukan tubuh dari parti yang datang dari tong sampah, UMNO diwujudkan atas pelbagai kesatuan termasuk organisasi Melayu untuk menyatukan orang Melayu.

“Bukan riak jauh sekali takbur namun sejarah sudah buktikan pengasas UMNO sendiri ditolak oleh orang Melayu ketika menubuhkan parti lain dan ini menunjukkan sokongan terhadap parti keramat itu sentiasa kuat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datoh di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh berkata, negara ini mengamalkan demokrasi yang memberikan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk menubuhkan parti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asalkan mengikut apa yang disyaratkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Kalau mahu berbeza pendapat silakan, kalau nak benci seseorang itu hak mereka tapi jangan pernah benci dan tikam belakang UMNO kerana mereka akan dibenci dan ditolak oleh rakyat.

“Walaupun pelbagai gelombang baharu serta masalah kita hadapi namun semuanya dapat diatasi, saya ingatkan diri dan semua, kalau parti politik ada masalah itu biasa, sedangkan lidah lagi tergigit tapi tidak perlulah terlalu kecewa hanya disebabkan permasalahan individu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 11:26 AM