KHAIRY bergambar bersama ahli UMNO ketika majlis perasmian Persidangan Sayap-Sayap UMNO Bahagian Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KHAIRY bergambar bersama ahli UMNO ketika majlis perasmian Persidangan Sayap-Sayap UMNO Bahagian Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Angota Pemuda UMNO diingatkan supaya tidak ambil mudah terhadap parti baru yang bakal ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, setiap ahli UMNO perlu ambil serius mengenai perkara itu dan tidak berasa angkuh walaupun ia sebuah parti serpihan.

Beliau berkata, setiap ahli UMNO juga tidak patut leka kerana parti serpihan itu dianggotai oleh 'orang-orang besar' termasuk Tun Dr Mahathir; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Kita sepatutnya terus yakin bahawa parti baru yang bakal ditubuhkan itu tidak akan mendapat sokongan orang Melayu.

"Kita sedia maklum bahawa parti baru itu ditubuhkan atas satu isu iaitu untuk menjatuhkan pemimpin negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Saya yakin jika itu asas partinya, ia takkan bertahan lama kerana ia mempunyai agenda untuk jatuhkan pemimpin," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sepang di sini malam tadi.

Katanya, beliau difahamkan, parti baru itu juga mensasarkan orang UMNO dan penyokong UMNO justeru, setiap jentera UMNO perlu memegang amanah parti dan terus mempertahankan institusi keramat milik bangsa Melayu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 10:54 AM