Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu bukan 'mengkarung politik' yang boleh berubah pendirian dan menjadi penunggang agama serta menggadai maruah bangsa.

Ahmad Zahid berkata, biarpun ada yang cuba memainkan sentimen bahawa kerjasama politik dilakukan Umno dalam Kerajaan Perpaduan akan menghakis kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, namun parti keramat itu bukan mengkarung politik.

"Suka saya tegaskan, Umno bukan political chameleons atau mengkarung politik.

"Kita tetap mempertahankan empat perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2023 (PAU 2023) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Beliau turut menyindir sebuah gabungan parti yang menggunakan agama demi kepentingan sendiri.

"Kita biasa mendengar ayat Allah dijadikan sandaran untuk mereka mengeluarkan pelbagai fatwa mengikut kepentingan.

"Dalam soal Melayu, kita mendengar fatwa tentang assabiyah. Kini merekalah kononnya penyelamat Islam dan Melayu.

"Dalam soal hudud, kita pernah dikafirkan dan kemudian atas kepentingan kerakusan politik mereka, disebut pula hudud bukan keutamaan. Semasa mereka berada dalam kerajaan mana perginya agenda RUU 355?" katanya.

Mengambil firman Allah SWT dalam ayat 41, Surah al-Baqarah, Ahmad Zahid berkata, peringatan itu cukup menggambarkan golongan yang memperdagangkan ayat Allah berselindung untuk kepentingan politik sempit mereka.

"Benarlah, mereka adalah mengkarung politik yang bukan saja berubah warna dan wajah tetapi lebih dahsyat, parti itu seolah-olah, menjadi pemegang neraca di yaumul mahsyar.

"Kita juga biasa mendengar, tuduhan kepada Umno yang kononnya berselindung di sebalik nama Bumiputera.

"Tetapi, tak sampai pun dua tahun di puncak kuasa, Bumiputera yang kononnya menjadi agenda perjuangan mereka, di Jana Wibawakan. Inilah ciri-ciri pengkhianat yang membalut dirinya dengan slogan Bersih dan Stabil kononnya," katanya.

AHMAD Zahid menyampaikan Ucapan Dasar Presiden Umno di sempena Perhimpunan Agung Umno 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
AHMAD Zahid menyampaikan Ucapan Dasar Presiden Umno di sempena Perhimpunan Agung Umno 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin

Mengulas mengenai isu kalimah Allah, katanya parti berkenaan juga cuba menjadi juara dengan menyeleweng fakta bahawa kerajaan hari ini menggadai kalimah Allah.

"Hakikatnya, pendirian Umno tidak berubah walau seinci pun. Umno dan wakil kita di dalam Kabinet, walaupun tanpa perlu berkokok seperti ayam jantan dengan tegas menyatakan, kalimah Allah tidak boleh digunapakai oleh agama di Semenanjung ini.

"Berbanding dengan mengkarung politik yang menunggang agama ketika dulu, semasa bersama rakan politik sama seperti kita hari ini, mengatakan tidak salah untuk agama lain menggunakan kalimah Allah.

"Apa pun hujah mereka yang jelas dan nyata, mereka akan menukar kulit mengikut suasana. Melayu dan Islam bagi mereka hanya topeng yang digunakan dalam persembahan sandiwara politik mereka," katanya.

Justeru, beliau menyeru seluruh ahli Umno supaya jangan berasa apologetik dalam menyuarakan hal Islam, Melayu dan Bumiputera.

"Malah, usaha memperkasakan dan menerap nilai Islam tetap menjadi agenda kita dalam Kerajaan Perpaduan di samping menghormati penganut agama lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 12:20 PM