AHMAD Zahid Hamidi berucap ketika hadir untuk Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh. FOTO Supian Ahmad
AHMAD Zahid Hamidi berucap ketika hadir untuk Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh. FOTO Supian Ahmad
Mohd Hafizee Mohd Arop


Bagan Datoh: Semua pihak termasuk pemimpin pembangkang digesa mengetepikan perbezaan politik untuk bersama-sama menangani ancaman pengganas Daish di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jalinan kerjasama harus dilakukan parti politik untuk menangkis ancaman pengganas itu yang turut menjadikan media sosial sebagai medium mereka.

"Untuk menangani ancaman ini memerlukan kekuatan dan perancangan polis dan tentera namun pemimpin parti politik juga perlu bersama-sama menyedarkan ahli masing-masing mengenai ancaman ini.

"Ancaman Daish ini benar dan ia bukan ugutan atau untuk menakut-nakutkan tetapi sebagai peringatan untuk kita sentiasa bersiap-siaga," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat UMNO Bahagian Datoh, hari ini yang dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan sentiasa bekerjasama dalam mempersiapkan aset serta meletakkan anggota di sempadan terutamanya di perairan negara.

Katanya, langkah kerjasama antara dua kementerian itu akan membolehkan keselamatan negara lebih terjamin ketika berhadapan dengan ancaman kumpulan militan yang dilihat cuba menjadikan Asia Tenggara sebagai wilayah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 4:37 PM