Mohamad Zulhairie Manzaidi


Rantau Panjang: “Terima kasih Harian Metro kerana ingat kami yang bertugas di sini (sempadan negara),” kata Kapten KM Mohd Yusoff Yaakob dari Batalion 5 Rejimen Sempadan Kem Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Beliau seorang daripada sepasukan pegawai dan anggota batalion berkenaan yang bertugas di Pos To’o, di sini, sempena Op Wawasan dan Merpati bagi Siri 3 2017 yang mengawal sempadan negara bermula 2 Jun lalu sehingga 2 Ogos depan.

Semalam, Harian Metro diketuai Ketua Biro Kelantan Maiamalina Mohamed Amin menyampaikan sumbangan Kotak Rezeki kepada semua petugas di pos berkenaan.

Mohd Yusoff berkata, sumbangan itu sangat bermakna buat mereka yang bertugas demi memastikan sempadan negara berdekatan Thailand dalam keadaan selamat dan tidak dicerobohi.

Katanya, ia juga secara tidak langsung menunjukkan penghargaan warga Harian Metro kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Tidak dinafikan, ada anggota kami yang berkawal di sekitar sempadan terlepas waktu berbuka puasa kerana tugas diamanahkan perlu dipikul sebaik mungkin.

“Insya-Allah, dengan adanya pek ini, anggota bertugas tidak lagi lewat berbuka puasa,” katanya di Pos To’o, di sini, semalam.

Sumbangan daripada program #HMKotakRezeki2017 dijayakan dengan kerjasama Affin Bank dan Affin Islamic Bank selaku penaja utama serta penaja lain termasuk Pasaraya Giant, Watsons Malaysia, Yayasan Kesejahteraan Bandar Wilayah Persekutuan dan Richwell.

Turut menaja Lifebuoy, Massimo by The Italian Baker Sdn Bhd, Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Quaker, manakala Poslaju sebagai rakan kurier rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 6:25 AM
Maiamalina menyampaikan Kotak Rezeki  kepada  Mohd Yusoff  di Pos To’o, semalam.
Maiamalina menyampaikan Kotak Rezeki kepada Mohd Yusoff di Pos To’o, semalam.