Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Tiga peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga merah jambu pada barangan kawalan dijual mereka dikompaun RM100 dalam operasi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) di beberapa pasar sekitar ibu negara, pagi kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 9 pagi hingga 3 petang itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan di Pasar Awam Jalan Klang Lama, Pudu dan sebuah pasar raya di Kuchai Lama.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, sebanyak 20 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) dikeluarkan dalam pemeriksaan awal di Pasar Awam Jalan Klang Lama.

“Hasil pemeriksaan, pihak kami mengenakan kompaun ke atas tiga kes yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu tidak meletakkan tanda harga merah jambu.

“Barangan kawalan itu termasuk bawang besar sebanyak 10 kilogram (kg), ikan kembung (3kg) dan telur Gred C,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan seterusnya dijalankan di sebuah premis membekal daging di Jalan Changkat Thambi Dollah, Pudu.

“Pihak kami tidak memperoleh maklumat harga daging berikutan premis itu beroperasi sebagai stor.

“Sistem data juga tidak boleh diakses kerana taliannya ditutup pada hujung minggu dan hanya boleh diperoleh dari di ibu pejabatnya di Segambut,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu KPP turut dikeluarkan ke atas syarikat itu kerana gagal menyimpan dan menyelenggara rekod jualan.

“Tindakan KPP turut dikeluarkan ke atas sebuah pasar raya di Kuchai Lama selepas ingkar tidak meletakkan tanda harga.

“Namun jualan barangan kawalan seperti ayam standard dipatuhi dan berada di bawah harga kawalan SKHMP,” katanya.

Katanya, bagi tiga kes AKHAP 2011 laporan polis dibuat di Balai Putra bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:11 AM