PENGGUNA terbeban berikutan harga ayam yang  didakwa kian meningkat.
PENGGUNA terbeban berikutan harga ayam yang didakwa kian meningkat.
Nadzreen Shah Mat Salim


Batu Caves: “Kami dalam dilema! Bukan tidak mahu jual murah pada pelanggan, tetapi pembekal jual pada kami pada harga RM7 sekilogram,” kata peniaga ayam, Saiful Bahari Ismail, 29, berhubung rungutan orang ramai terhadap harga ayam yang didakwa meningkat setiap kali musim perayaan.

Menurutnya, dia dan peniaga lain menyedari rungutan pengguna yang tidak berpuas hati susulan harga ayam didakwa kian mahal dan membebankan pembeli.

“Isu ini berpunca daripada orang tengah yang sering kali ‘main’ harga dengan kami. Mahu atau tidak, kami kena beli ayam daripada mereka.

“Saya serba salah. Kalau naikkan harga nanti kena kompaun oleh Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), namun semua ini berpunca daripada pembekal,” katanya.

Menurutnya, pihak pembekal sering memberi alasan bekalan ayam berkurangan menyebabkan bekalan ayam bersih mahal.

“Alhamdulillah bekalan ayam masih mencukupi. Ada pembeli membuat tempahan awal,” katanya.

Pengguna, Zairah Safuan, 62, berkata, kewujudan Skim Harga Kawalan Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SKHMP) sedikit sebanyak meringankan beban bagi mereka yang tidak berkemampuan.

“Harga siling ayam bersih ditetapkan pada RM7.50 sekilogram. Ini memastikan peniaga dan membekal tidak sesuka hati menaikkan harga,” katanya.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam berkata, SKHMP Hari Raya Puasa dikuat kuasa pada 17 Jun lalu sehingga 30 Jun 2017 dan 21 barangan disenaraikan di dalam skim ini.

“Harga runcit maksimum ayam standard bagi setiap kilogram (kg) di Selangor adalah RM7.50 dan harga borong pula RM6.70.

“Peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain,” katanya pada Majlis Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2017 di Pasar Awam Taman Sri Gombak, di sini. semalam.

Beliau berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 24,258 premis perniagaan di seluruh Selangor membabitkan nilai rampasan berjumlah lebih RM4.14 juta sejak awal tahun ini sehingga semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 7:09 AM