myMetro

Kuala Lumpur: “Pembekal jual dengan harga tinggi jadi saya menaikkan harga untuk mendapatkan sedikit keuntungan,” itu alasan peniaga kelapa parut yang menerima kompaun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) kerana tidak mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) di Pasar Sungai Besi, semalam.

Operasi pemeriksaan SKHMP yang bermula jam 9 pagi adalah pemantauan secara berkala KPDNKK bagi menyekat kenaikan harga bagi 19 barangan di bawah SKHMP bermula 16 Jun lalu.

Peniaga itu mendakwa pihak pembekal harus dipersalahkan dan dikenakan tindakan sama kerana menjual kelapa pada harga tinggi.

“Pembekal seharusnya menawarkan harga yang rendah supaya peniaga seperti kami dapat menjualnya dengan harga pasaran,” katanya.

Sementara itu, peniaga ayam, Mohd Zamhor Mohd Ghaus, 46, berkata, pembekal masih menjual harga ayam berdasarkan harga siling ditetapkan KPDNKK.

“Harga ayam masih mengikut harga kawalan iaitu RM7.80 sekilogram sejak 16 Jun lalu. Sebelum ini harga ayam mencecah RM8 hingga RM9 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KPDNKK WPKL, Ummi Nasrah Othman berkata, pihaknya meneruskan pemantauan dan pemeriksaan di premis perniagaan di ibu negara sehingga 6 Julai depan bagi memastikan harga jualan 19 barangan terkawal dipatuhi.

“Lima pasar awam dan sembilan pasar raya diperiksa.

“156 kenyataan beramaran dikeluarkan terhadap peniaga yang tidak patuh kepada Perintah Kawalan Harga dan Antipecatutan (Penentuan Harga Maksimum),(Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal) 2016 dan Perintah Harga Kawalan (Penanda Harga Oleh Penjual Runcit) 1993,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 10:43 AM
UMMI Nasrah membuat pemantauan harga kawalan di Pasar Sungai Besi.
UMMI Nasrah membuat pemantauan harga kawalan di Pasar Sungai Besi.