Oleh Nasharuddin Muhammad


Kuala Lumpur

Anggerik Majumas Sdn Bhd, pemaju hartanah Bumiputera mempelawa pemilik tanah rizab Melayu dari seluruh negara untuk bekerjasama bagi membangunkan tanah berkenaan untuk faedah kedua-dua pihak.

Pengarah Urusannya Sayyid Walid Hasuana berkata, syarikatnya yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pembangunan hartanah setakat ini sudah memajukan lebih 25 hektar tanah rizab Melayu di lebih 20 lokasi sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, antara punca utama tanah rizab Melayu sukar dimajukan termasuk saiz keluasannya yang agak kecil dan tidak mencukupi untuk dimajukan dengan projek pembangunan tertentu seperti kawasan perumahan dan perbandaran baru selain mempunyai pemilik yang ramai.

Justeru, katanya, syarikatnya menawarkan pilihan kepada pemilik terbabit untuk menjual tanah milik mereka supaya ia dapat dimajukan untuk projek pembangunan termasuk perumahan dan perbandaran baru yang boleh memberi faedah ekonomi bukan saja kepada pemiliknya, malah kepada orang Melayu secara keseluruhan.

Beliau berkata, semua projek pembangunan dilaksanakan syarikatnya berdasarkan kepada konsep Islam sama ada melalui penjualan semula lot tanah berkenaan yang sudah ditukar status daripada tanah pertanian kepada pembangunan mahupun pembinaan taman perumahan dan perbandaran baru.

“Setakat ini, syarikat memang hanya memberikan tumpuan kepada lokasi tanah rizab Melayu di sekitar Lembah Klang terutama di daerah Hulu Langat dan Sepang, tetapi bercadang untuk mengembangkan operasi di luar Lembah Klang pada masa akan datang,” katanya kepada Bisnes Metro.

Selain itu, menurutnya, syarikatnya juga bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri serta agensi kerajaan yang berkaitan bagi memajukan dan memberi nilai tambah kepada tanah rizab Melayu seperti PR1MA Berhad.

“Terbaru, syarikat ini membeli satu tanah rizab Melayu di Hulu Langat seluas dua hektar dengan harga RM1.5 juta yang akan dimajukan dengan pembangunan bercampur hujung tahun ini atau awal tahun depan.

“Setiap projek pembangunan yang dilaksanakan syarikat ini mengambil masa antara satu setengah hingga tiga tahun untuk disiapkan,” katanya.

Katanya, tanah rizab Melayu yang dibiarkan tanpa dimajukan tidak mampu memberikan sebarang faedah dan keuntungan, tetapi sekiranya dimajukan, harganya boleh meningkat sehingga tiga kali ganda, sekali gus mampu memberikan faedah ekonomi kepada pemiliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:02 AM