Izany   (kiri) menyerah dokumen terima tugas kepada Mohd Luthfi sambil diperhatikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh.
Izany (kiri) menyerah dokumen terima tugas kepada Mohd Luthfi sambil diperhatikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Kuala Lumpur: “Saya akan memantapkan lagi ‘delivery system’ (sistem penyampaian) dalam Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur dengan memastikan mangsa penipuan dibantu sebaik mungkin,” tegas Ketua JSJK Kuala Lumpur baru Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail Abdullah.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua JSJK Selangor menggantikan Senior Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Bukit Aman.

Mohd Luthfi berkata, selain memastikan setiap kes dilaporkan ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur diselesaikan, beliau mahu memberi fokus terhadap jenayah ‘Macau Scam’.

“Saya akan meneruskan tugas yang dipertanggungjawabkan selepas menggantikan Izany. Dalam masa sama saya akan melakukan pembaharuan selain memastikan setiap kes dilaporkan diambil tindakan segera.

“Kebanyakan mangsa yang mengalami kerugian akibat ditipu mahukan pembelaan dan mendapat semula wang mereka. Jadi kami mahu memuaskan hati pelanggan kami,” katanya ketika ditemui sejurus Majlis Serah Terima Tugas Ketua JSJK Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 7:04 AM