Ipoh: Polis Perak menerima 25 laporan kes penipuan oleh sindiket yang mendakwa kononnya boleh membebaskan tahanan tidak wujud dengan kerugian dilapor mencecah RM543,950 antara Mei hingga September lalu.

Berdasarkan siasatan pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama polis Bukit Aman, sindiket berkenaan membabitkan beberapa suspek yang licik melakukan penipuan terhadap mangsanya.

Ketua JSJK IPK Perak Superintendan Maszely Minhat berkata, mereka menyasar golongan warga emas dan kebanyakannya berketurunan Cina.

Menurutnya, lima ahli sindiket sudah diberkas di beberapa lokasi di Johor, Melaka dan Taiping antara Ogos sehingga September lalu, menerusi operasi khas yang dijalankan dengan kerjasama anggota Bukit Aman.

“Empat suspek yang ditahan, berperanan sebagai pemilik akaun dan seorang dikenal pasti sebagai penyelia kumpulan berkenaan. Siasatan lanjut terhadap suspek yang ditahan mendapati ketua kumpulan berkenaan sudah melarikan diri ke luar negara.

“Usaha mengesan lelaki itu masih dijalankan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 20-an hingga 30-an dan sudah didakwa di mahkamah Oktober lalu.

Katanya, taktik penipuan kumpulan itu hampir sama seperti penipuan antarabangsa menggunakan Internet atau ‘Macau Scam’.

Menurutnya, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya sebaliknya menyiasat terlebih dahulu panggilan telefon yang mendakwa menawarkan sesuatu atau cuba mengambil kesempatan terhadap mereka.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan seorang guru Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) kerugian lebih RM35,000 selepas terpedaya dengan panggilan telefon daripada individu tidak dikenali meminta wang bagi membebaskan anaknya yang didakwa diculik.

Mangsa, Yau Sau Har, 55, mendakwa menerima panggilan daripada nombor telefon anaknya, Lai Yin Hoe, 32, kira-kira jam 3 petang pada 19 September lalu.

Individu berkenaan memberitahu anaknya diculik dan berada dalam jagaannya sebelum meminta wang tunai RM60,000 sebagai tebusan yang perlu dimasukkan ke dalam akaun bank milik Koh Kar Yee tetapi Yau yang tidak memiliki wang sebanyak itu, bersetuju memasukkan RM35,150.

Dia kemudian menyedari ditipu apabila panggilan telefon ke nombor sama tidak lama kemudian, dijawab anaknya yang memberitahu sedang bekerja seperti biasa dan tidak ditahan oleh sesiapa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 6:54 AM