Hamzah
Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Cerita seram yang dikaitkan dengan Highland Towers menimbulkan rasa gerun kepada orang ramai, namun keadaan kawasan hutan yang sunyi di belakang kondominium itu memberi peluang kepada penjenayah warga asing menjadikan ia markas persembunyian.

Highland Towers yang terletak di Bukit Antarabangsa itu pernah mengorbankan 48 nyawa apabila satu daripada tiga blok runtuh pada 1993.

Markas penjenayah berkenaan terdiri daripada dua pondok kecil kayu dan kanvas dipercayai dibina sebagai tempat berteduh dan tempat merancang kegiatan jenayah pecah rumah.

Mereka menyasarkan kegiatan pecah rumah di kediaman golongan elit dan kaya di sekitar Bukit Antarabangsa dan taman berdekatan termasuk Taman Hillview, Taman Sri Ukay, Villa Sri Ukay, Tropicana Villa, Taman Bukit Utama dan Taman Puncak Bukit Utama.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, hasil risikan, pihaknya membongkar markas terbabit yang terletak dua kilometer dari kondominium terbiar itu.

Beliau juga mendedahkan serbuan pada Mac lalu membawa kepada penahanan lelaki warga asing berusia lingkungan 50 tahun yang dilihat mengawasi markas berkenaan.

Siasatan polis mendapati markas penjenayah itu lengkap dengan sumber makanan, tempat tidur dan dapur sebagai pelengkap untuk mereka menetap di situ.

Polis turut menemui beberapa parang, barang kemas dan barang rompakan lain yang ditanam di sekitar kawasan markas bagi mengelak daripada dikesan.

“Mereka dipercayai mengumpul hasil harta rompakan sehingga mencapai nilai tertentu sebelum mengagihkan kepada anggota kumpulan mereka,” katanya baru-baru ini.

Penjenayah itu dipercayai mengamalkan sihir dan akan meninggalkan najis dan memakan makanan di rumah mangsa yang dirompak sebagai amalan untuk menguatkan ilmu mereka.

Penemuan markas itu membawa polis untuk menjejaki sekumpulan enam penjenayah dengan tiga daripada mereka ditembak mati di Highland Towers pada 12 April.

“Sebenarnya kejadian tembak yang berlaku tempoh hari adalah lanjutan daripada operasi yang dilancarkan berikutan terjumpa markas persembunyian di dalam hutan itu,” katanya menambah tiga lagi anggota sindiket meloloskan diri daripada serbuan.

Hamzah berkata, tiga penjenayah yang ditembak itu, dua mempunyai rekod lampau membabitkan pecah rumah dan samun.

Kumpulan yang aktif sejak lebih dua tahun lalu itu dipercayai terbabit sekurang-kurangnya dengan 26 kes samun di sekitar Selangor membabitkan kerugian RM545,900.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 7:18 AM