BARANG yang dirampas polis daripada sindiket terbabit.
BARANG yang dirampas polis daripada sindiket terbabit.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Hidup kaya raya hasil kegiatan menjual barang berjenama terkemuka Prada, Louis Vuitton dan Hublot yang dibeli di Eropah menggunakan ribuan kad kredit klon.

Itu antara aktiviti sindiket kad kredit klon yang dikesan mengupah ‘keldai tempatan’ untuk membeli barangan mewah itu di Perancis, United Kingdom serta beberapa negara lain.

Suspek membabitkan warga tempatan dan Nigeria itu dikesan menaja pasport, tiket penerbangan, hotel selain memberikan wang saku kepada individu yang diupah untuk menjalankan kegiatan penipuan licik itu.

‘Keldai’ yang diupah itu kemudian akan diberikan upah komisen sebanyak 10 peratus bagi setiap barangan berjenama yang berjaya dijual semula.

Sindiket yang bergerak aktif sejak lima bulan lalu akhirnya berjaya ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam operasi khas sejak Sabtu lalu.

Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram JSJK Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Khalil Azlan Chik berkata, seramai 20 ahli kumpulan itu ditahan secara berasingan di sekitar Lembah Klang dan Ipoh, Perak.

Menurutnya, pihaknya turut merampas pelbagai barang berjenama dan barang kemas dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

“Pada November tahun lalu, pihak kami menerima maklumat berhubung kegiatan penipuan kad kredit palsu yang memperoleh data daripada sindiket antarabangsa.

”Berdasarkan data diperolehi, sindiket memasukkan data pemilik asal ke kad kredit klon sebelum diberikan kepada ‘keldai’ untuk membeli barang berjenama di luar negara,” katanya.

Menurutnya, individu yang diupah itu kemudian akan segera pulang ke Malaysia dan menyerahkan barang itu kepada sindiket. Barangan itu kemudian dijual semula pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya ketika sidang media, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:33 AM